PHNOM PENH,. Ahli politik veteran Myanmar, Aung San Suu Kyi (gambar) dipindahkan ke tahanan rumah pada Khamis selepas hampir lima tahun ditahan secara
PHNOM PENH,. Ahli politik veteran Myanmar, Aung San Suu Kyi (gambar) dipindahkan ke tahanan rumah pada Khamis selepas hampir lima tahun ditahan secara berasingan.
Kerajaan mengumumkan keputusan itu atas dasar kemanusiaan sempena sambutan Hari Buddha di Myanmar, yang jatuh pada hari bulan purnama Kason pada Rabu.
Beliau kini dipindahkan dari penjara di ibu negara Nay Pyi Taw dan ditempatkan di sebuah kediaman yang ditetapkan.
“Presiden Myanmar Min Aung Hlaing membenarkan Daw Aung San Suu Kyi, yang kini menjalani hukuman di Penjara Nay Pyi Taw, menjalani baki hukumannya di kediaman yang ditetapkan,” menurut laporan media kerajaan The Global New Light of Myanmar pada Jumaat.
Kerajaan turut memberikan pengampunan kepada 1,519 banduan pada Khamis, termasuk 11 warga asing yang menjalani hukuman di penjara, pusat tahanan dan kem.
Suu Kyi, 80, penerima Hadiah Nobel Keamanan dan ibu kepada dua anak, pada mulanya dijatuhi hukuman penjara 33 tahun selepas rampasan kuasa tentera pada Februari 2021.
Awal bulan ini, Min Aung Hlaing mengurangkan hukumannya sebanyak satu perenam. Beliau dijangka menjalani tahanan selama 13 tahun lagi.
Pemimpin itu berdepan pelbagai tuduhan termasuk rasuah, melanggar undang-undang telekomunikasi dan pengkhianatan, menurut laporan media.
Lulusan Oxford itu selama bertahun-tahun berusaha mengubah landskap politik Myanmar yang kompleks ke arah demokrasi moden. Sebahagian besar kerjayanya, hampir 20 tahun dihabiskan sama ada di penjara atau dalam tahanan rumah.
Beliau dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan pada 1991 atas perjuangannya menegakkan demokrasi dan hak asasi manusia.
Menurut laman sesawang Nobel Prize, Suu Kyi mengumumkan bahawa beliau akan menggunakan wang hadiah berjumlah US$1.3 juta (RM5 juta) untuk menubuhkan tabung kesihatan dan pendidikan di Myanmar.
Beliau pernah berkahwin dengan sarjana Britain, Michael Aris, yang meninggal dunia pada 1999.
–BERNAMA

