Autisme: sokongan yang berkualiti perlu diperkukuh – Nancy

HomeFeaturedBerita Semasa

Autisme: sokongan yang berkualiti perlu diperkukuh – Nancy

BANGI,. Peningkatan bilangan individu autisme yang berdaftar menunjukkan keperluan untuk terus memperkukuh penyediaan perkhidmatan intervensi dan soko

KPWKM perkasa khidmat kaunseling rumah tangga, tangani peningkatan kes penceraian
KPWKM ucap tahniah pemilihan Yasmeen anggota Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak PBB
KPWKM: Memaklumkan bahawa tema sambutan tahun ini ‘Families, Inequalities and Child Wellbeing’

BANGI,. Peningkatan bilangan individu autisme yang berdaftar menunjukkan keperluan untuk terus memperkukuh penyediaan perkhidmatan intervensi dan sokongan yang berkualiti kepada individu autisme serta keluarga mereka, demikian menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri.

“Sehingga Jun 2026, seramai 93,199 individu autisme telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Angka ini dijangka terus meningkat selaras dengan pertambahan kesedaran masyarakat, sekali gus menunjukkan keperluan untuk terus memperkukuh penyediaan perkhidmatan autisme yang berkualiti dan mudah diakses,” katanya sempena lawatan isteri Presiden Republik Singapura, Jane Ittogi Shanmugaratnam bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) Bangi di sini semalam.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying, Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Maziah Che Yusoff serta Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan.

Nancy berkata, penubuhan Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) tercetus hasil pemerhatian terhadap cabaran yang dihadapi keluarga dalam membesarkan anak-anak dalam spektrum autisme, sekali gus memperkukuh komitmen kementerian untuk memastikan tiada keluarga yang perlu melalui perjalanan tersebut bersendirian.

Menyedari keperluan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan autisme yang mampu milik dan mudah diakses, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM5 juta bagi menaik taraf sebahagian daripada bangunan bekas Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan di bawah JKM menjadi Pusat Perkhidmatan Autisme.

Pusat itu diuruskan menerusi kerjasama strategik antara sektor awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu National Autism Society of Malaysia (NASOM) dan PDK Damansara Damia. Ia menyediakan perkhidmatan intervensi khusus, latihan serta sokongan holistik kepada individu autisme, termasuk saringan awal, intervensi awal, program terapi intensif, kumpulan sokongan keluarga, latihan kepada penjaga serta program kesedaran masyarakat.

Kemudahan itu turut berfungsi sebagai pusat rujukan nasional bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan autisme di seluruh negara.

Kementerian itu berkata pusat berkenaan mampu menampung sehingga 90 peserta dan kini menyediakan perkhidmatan kepada 48 peserta aktif. Setiap peserta akan menjalani penilaian awal sebelum diberikan Pelan Intervensi Individu yang disesuaikan mengikut keperluan masing-masing.

Nancy berkata kerajaan akan memperluaskan model Pusat Perkhidmatan Autisme ke Sabah, Sarawak dan Labuan dengan peruntukan keseluruhan RM12 juta.

“Perluasan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan lebih ramai individu autisme mendapat akses kepada perkhidmatan autisme bersepadu di seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau turut menegaskan semula komitmen kerajaan untuk membina sebuah masyarakat yang lebih inklusif dengan memastikan setiap individu dalam spektrum autisme diberi peluang yang sama untuk mencapai potensi sepenuhnya tanpa mengira latar belakang.

“Aspirasi kita jelas, iaitu memastikan setiap individu dalam spektrum autisme diberi peluang yang sama untuk merealisasikan potensi terbaik mereka tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Berkenaan lawatan yang diadakan bersempena Lawatan Negara Presiden Republik Singapura ke Malaysia itu, ia memberi peluang kepada delegasi Singapura melihat pendekatan holistik Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan intervensi, terapi dan sokongan kepada individu autisme serta keluarga mereka, di samping memperkukuh komitmen negara dalam membina sistem sokongan sosial yang lebih inklusif.

Kementerian berkata lawatan itu bukan sahaja memperkukuh hubungan persahabatan yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Singapura, malah membuka ruang kepada kedua-dua negara untuk berkongsi amalan terbaik dalam pembangunan perkhidmatan sosial dan sokongan kepada individu autisme.