KUALA LUMPUR,. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) kekal komited untuk memperkuku
KUALA LUMPUR,. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) kekal komited untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam menangani isu gangguan seksual melalui pendekatan bersepadu.
Ini merangkumi aspek pencegahan, pendidikan, advokasi dan penguatkuasaan undang-undang bagi mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif untuk semua lapisan masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah tegas bagi menangani isu gangguan seksual, termasuk penggubalan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840).
Akta ini disokong oleh garis panduan komprehensif yang merangkumi langkah pencegahan, tatacara tindakan serta perlindungan menyeluruh kepada mangsa bagi memastikan kes-kes dapat dikendalikan secara lebih sistematik, berkesan dan bersepadu.
Antara komponen utama penguatkuasaan ialah penubuhan Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) yang berfungsi sebagai platform alternatif untuk menyelesaikan aduan dengan lebih cepat, mudah dan kos yang lebih berpatutan, sekali gus membolehkan mangsa mendapatkan keadilan dengan lebih efisien.
Menurut rekod TAGS, sebanyak 92 aduan telah difailkan setakat 26 April 2026, dengan 69 kes berjaya diselesaikan. Perkara ini membuktikan keberkesanan tribunal tersebut dalam mempercepatkan akses kepada keadilan bagi mangsa.
Nancy turut menzahirkan kebimbangan terhadap statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan peningkatan berterusan kes gangguan seksual.
Kes meningkat daripada 477 kes pada tahun 2022 kepada 522 kes pada tahun 2023, sebelum melonjak kepada 788 kes pada tahun 2024 dan seterusnya mencecah 1,038 kes pada tahun 2025.
Beliau berkata trend peningkatan ini mencerminkan isu gangguan seksual yang semakin serius dan memerlukan tindakan bersepadu daripada semua pihak berkepentingan.
Pada masa sama, JPW terus mempergiatkan pelaksanaan program advokasi di bawah agenda Women, Peace and Security (WPS) bagi meningkatkan kesedaran mengenai peranan wanita dalam aspek keamanan, keselamatan dan pembangunan negara.
Program ini juga selaras dengan National Action Plan: Women, Peace and Security 2025–2030 (NAP WPS) yang menegaskan komitmen negara dalam memperkukuh peranan wanita sebagai pemangkin keamanan dan pembangunan mampan.
Terdahulu, Nancy telah merasmikan Program “Toleransi Sifar Keganasan: Say No To Sexual Harassment” di sini semalam.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap isu gangguan seksual yang menjejaskan maruah dan keselamatan individu.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Pengarah JPW Hanani Sapit, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dato’ Abdul Shukur Abdullah dan Presiden TAGS Syafeera Mohd Said.

