Bukti sokongan, komitmen kerajaan kembalikan kehebatan industri pelancongan – Nancy

Bukti sokongan, komitmen kerajaan kembalikan kehebatan industri pelancongan – Nancy

PUTRAJAYA,. Dengan RM1.6 bilion diperuntukkan dalam Bajet 2022, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyifatkan peruntukan itu sebagai tanda sokongan dan komitmen berterusan kerajaan untuk menjadikan industri pelancongan, seni dan budaya tempatan, kembali hebat.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri, dalam satu kenyataan hari ini mengenai Bajet 2022 berkata perhatian itu membolehkan MOTAC terus memainkan peranannya sebagai antara kementerian teras dalam menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara pasca-COVID-19.

“Peruntukan yang diberi perhatian dalam Bajet 2022 secara tidak langsung membolehkan lebih banyak pihak terlibat sama dalam merancang strategi lebih mapan dan berdaya saing bagi merancakkan semula industri ini,” katanya.

Nancy berkata MOTAC akan memperhalusi segala peruntukan dalam Bajet 2022 yang melibatkan sektor pelancongan dan kebudayaan bagi memastikan sektor pelancongan dan kebudayaan kembali rancak dan menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan negara.

Antara fokus langsung yang melibatkan MOTAC dalam usaha pemulihan adalah Program Subsidi Upah Bersasar melibatkan 26,000 majikan dan 330,000 pekerja dengan peruntukan RM600 juta dan peruntukan RM600 juta pembiayaan khusus bagi sektor pelancongan di bawah Skim Pemulihan BPMB dan Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA.

Peruntukan RM30 juta bagi pemberian geran padanan untuk pembaikan 738 hotel bajet berdaftar di bawah MOTAC serta geran pembaikan kepada pemilik inap desa berdaftar selain RM60 juta sebagai dana galakan untuk tujuan aktiviti promosi dan pelancongan domestik.

Nancy berkata Bajet 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat semalam merupakan indikator jelas bahawa Malaysia menuju ke arah pemulihan segera industri pelancongan, seni dan budaya negara yang seterusnya akan membuka semula pintunya kepada dunia.

MOTAC, katanya turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas pengumuman Bajet 2022 berimpak tinggi itu yang menyokong serta menyumbang kepada rantaian ekonomi berkaitan sektor pelancongan seperti penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, agensi pelancongan, aset-aset warisan seni dan budaya serta pengurusan acara di negara ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This