PRN Sarawak: PKR umum 27 calon

KUCHING, 3 Dis — PKR hari ini mengumumkan 27 calon yang akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada 18 Dis ini.

Antara yang diumumkan adalah Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Abg Zulkifli Abg Engkeh bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro dan Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Joshua Jabeng di DUN Kakus.

Joshua berkata pengumuman hanya 27 calon adalah berdasarkan keputusan PKR untuk bertanding di kerusi yang mempunyai peluang kemenangan yang tinggi setelah membuat perincian.

“Rasional di sebalik ini bukan untuk bertanding tetapi yang lebih penting untuk menang… oleh kerana kita fokus kepada kemenangan, kita pilih kerusi yang kita yakin menang.

“Selain itu, di mana ada parti DAP bertanding, PKR tidak akan bertanding bagi mengelakkan pertindihan. Itu adalah prinsip serta semangat kami dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya pada sidang media pengumuman nama calon parti itu di ibu pejabat PKR Sarawak di sini.

Semalam, Abg Zulkifli berkata PKR akan bertanding di 49 daripada 82 kerusi pada PRN ke-12 itu.

Sementara itu, Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya PKR Negeri Dominique Ng berkata kali ini PKR bertindak rasional dengan tidak meletakkan calonnya di kerusi yang tidak mempunyai harapan untuk menang.

“Sebenarnya, 49 kerusi yang kami nyatakan sebelum ini adalah kerusi yang diberi tumpuan, tetapi kami tidak menyatakan kami akan bertanding secara realiti, kami lebih menumpukan perhatian di kerusi boleh menang daripada meletakkan calon di kawasan yang kami langsung tiada peluang.

“Sekarang ini nampaknya banyak parti lain… jadi kami memutuskan untuk mengurangkan kerusi kerana kami perlu realistik dalam jangkaan kami. Sebab itu, kami lebih suka membuat pengurangan drastik,” katanya.

Ng berkata PKR mungkin akan membuat perubahan di saat akhir dan berkemungkinan akan menambah lagi calon-calon yang bertanding.

“Ini adalah senarai 27 yang kita boleh umumkan dan akan ada satu atau dua kerusi lagi (kemungkinan akan diputuskan di saat akhir). Tetapi sudah tentu tiada pertembungan dengan DAP, kerana kami bertanding dalam PH yang sama,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )