Banjir: 16,205 mangsa berada di 71 PPS di empat negeri setakat 6 pagi

Banjir: 16,205 mangsa berada di 71 PPS di empat negeri setakat 6 pagi

KUALA LUMPUR,. Jumlah mangsa banjir di empat negeri tidak banyak berubah pagi ini dengan 16,205 orang masih berlindung di 71 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 16,919 mangsa, tengah malam tadi.

Berdasarkan laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kelantan kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 15,190 orang yang ditempatkan di 42 PPS di empat daerah.

Menurut laporan itu, di Pasir Mas sejumlah 26 PPS dibuka yang menempatkan 11,093 mangsa membabitkan 3,620 keluarga, empat PPS di Kuala Krai (90 mangsa daripada 21 keluarga), 10 PPS di Tumpat (3,311 mangsa daripada 1,174 keluarga) manakala 696 mangsa daripada 190 keluarga berlindung di dua PPS di Jeli setakat 6 pagi ini.

Di Terengganu, jumlah mangsa merekodkan penurunan kepada 732 orang yang berlindung di 20 PPS pagi ini berbanding 862 orang tengah malam tadi di tiga daerah yang terjejas iaitu Dungun, Kuala Terengganu dan Marang.

Jumlah mangsa banjir di Johor pula pada pagi ini kekal sejak tengah malam tadi membabitkan 55 mangsa daripada 15 keluarga yang masih ditempatkan di dua PPS di daerah Segamat.

Di Pahang, terdapat sedikit peningkatan jumlah mangsa di daerah iaitu Bera, Maran dan Temerloh kepada 138 mangsa daripada 39 keluarga yang ditempatkan di enam PPS pagi ini berbanding 120 mangsa malam tadi.

Berhubung perkembangan terkini tanah runtuh di Cameron Highlands, laporan itu memaklumkan jumlah mangsa bagi insiden itu kekal 87 orang daripada 17 keluarga yang masih berlindung di sebuah PPS yang dibuka di daerah itu.

Bagi tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran, lima sungai di Kelantan iaitu Sungai Golok Pasir Mas, Sungai Golok Tanah Merah, Sungai Kelantan Kota Bharu, Sungai Kelantan Jeli dan Sungai Kelantan Gua Musang berada pada paras bahaya.

Selain itu, Sungai Terengganu, Kuala Terengganu juga berada di paras bahaya setakat 6 pagi tadi.

Sementara itu, laporan berkenaan menyebut terdapat 52 jalan ditutup akibat insiden banjir dan tanah runtuh.

Antara jalan-jalan yang terlibat adalah Jalan Jabi-Bukit Tempurung, Segamat di Johor, Jalan Jeli-Dabong (Kelantan), Jalan Bukit Besi-Dungun (Terengganu) dan Jalan Kuala Lumpur-Bentong (Jalan Lama Bentong) di Pahang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)