Banjir di Johor: Kulai pula terjejas

Banjir di Johor: Kulai pula terjejas

JOHOR BAHRU,. Mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 798 orang dengan 16 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di empat daerah terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, R Vidyananthan, berkata Kulai menjadi daerah terbaharu terjejas banjir dengan satu PPS dibuka sejak tengah malam tadi.

Petang semalam, katanya, jumlah mangsa banjir seramai 713 orang dengan 11 PPS dibuka, iaitu berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

“Sehingga kini banjir di Johor membabitkan empat daerah iaitu Muar, Batu Pahat, Pontian dan terbaharu Kulai.

“Sebanyak 16 PPS yang dibuka menempatkan 774 mangsa daripada 199 keluarga, menerusi data dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah jam 8 pagi tadi.

“Jumlah mangsa banjir di Pontian meningkat mendadak kepada 282 orang daripada 75 keluarga dengan tujuh PPS dibuka, berbanding hanya 210 mangsa daripada 55 keluarga dengan tiga PPS dibuka petang semalam.

“Kulai pula menjadi daerah terbaharu terjejas banjir di Johor dengan 19 mangsa daripada lima keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu, Kulai.

“Batu Pahat mencatatkan mangsa banjir 205 orang daripada 44 keluarga di tiga PPS, manakala Muar pula kekal dengan 282 mangsa daripada 82 keluarga di lima PPS, ” katanya dalam kenyataan, pagi ini.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, langkah berjaga-jaga dan pemantauan akan terus ditingkatkan berikutan hujan lebat berterusan yang turun sejak awal pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini turut mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir di tujuh daerah termasuk Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kluang, Kota Tinggi, Batu Pahat dan Mersing sehingga tengah hari ini.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )