Bank digital mempunyai masa depan cerah di Malaysia

KUALA LUMPUR,. Bank digital mempunyai masa depan yang cerah di Malaysia dan aspirasi untuk mewujudkannya akan menjadi realiti melalui transformasi digital dalam landskap kewangan Malaysia.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, langkah itu tertakluk kepada tiga elemen utama iaitu ekosistem kawal selia yang cekap, sokongan teknologi yang kukuh dan penyesuaian budaya.

Katanya pembentukan ekosistem kawal selia yang berkesan bagi bank digital di Malaysia masih dalam peringkat pelaksanaan.

“Draf yang dikemas kini oleh BNM pada 3 Mac, 2020 telah mencadangkan pendekatan seimbang bagi membolehkan kemasukan bank digital dengan nilai tawaran yang kukuh serta memelihara integriti dan kestabilan sistem kewangan.

“Berdasarkan rangka kerja ini, sebanyak lima lesen akan dikeluarkan tertakluk kepada kemampuan peserta dalam mematuhi keperluan yang ditetapkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, ” katanya.

Dari segi sokongan teknologi yang kukuh, katanya bank digital perlu berupaya untuk beradaptasi dan berinovasi dengan teknologi terkini dengan memanfaatkan pengkomputeran awan, API, automasi tahap tinggi dan pembelajaran mesin AI.

“Malaysia tidak ketinggalan jauh dalam aspek kematangan digital kerana kebanyakan bank tradisional kini menggunakan pendekatan digital sebagai sebahagian daripada model perniagaan mereka,” katanya.

Selain itu, menurut laporan tersebut, aspirasi ke arah bank digital memerlukan transformasi digital, penguasaan kemahiran baharu, pengadaptasian proses baharu dan perubahan dalam kaedah urus niaga perniagaan.

“Sehubungan itu, , semua pihak yang berminat perlu memperbaharui model dan budaya perniagaan, menerapkan budaya inovasi sebagai keutamaan serta mengaplikasi analitis data raya bagi mewujudkan orientasi berpaksikan pelanggan,” katanya.

Katanya secara asasnya, bank digital merupakan bank maya yang beroperasi dalam persekitaran digital tanpa keperluan fizikal seperti bank tradisional.

Bagaimanapun, katanya bank digital masih menawarkan perkhidmatan yang hampir sama dengan bank tradisional seperti akaun simpanan, akaun semasa, pengeluaran dan pemindahan.

“Justeru, bank digital dijangka merevolusikan landskap kewangan dengan menawarkan perkhidmatan kewangan melalui platform digital dan berautomasi,” katanya.

Menurut laporan itu, Malaysia menyasarkan penubuhan beberapa bank digital dalam masa terdekat yang akan membuka laluan ke arah landskap perkhidmatan kewangan yang lebih rancak.

Pada masa ini, bank digital telah dibangunkan di Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Australia, Brazil, China, Filipina, Hong Kong, Jerman, Kanada, Republik Korea, Taiwan dan United Kingdom. Singapura dijangka mengeluarkan lesen bank digital pada 2020.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )