Bank Islam pelbagaikan aliran pendapatan selepas pengurangan BR kepada 2.77 peratus
KUALA LUMPUR,. Bank Islam Malaysia Bhd menyemak semula kadar asas (BR) sebanyak 50 mata asas kepada 2.77 peratus daripada 3.27 peratus dan kadar pembiayaan asas (BFR) kepada 5.72 peratus daripada 6.22 peratus, berkuat kuasa 12 Mei.
Kadar deposit juga akan diselaraskan ke bawah sebanyak 50 mata asas sejajar dengan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas kepada 2.00 peratus, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Muazzam Mohamed dalam kenyataan.
Katanya walaupun pengurangan itu akan memberi kesan kepada pendapatan, ia dilakukan untuk kepentingan pelanggan dan akan terus membantu masyarakat dalam tempoh sukar ini dan terus menyokong ekonomi untuk kembali normal.
“Kami telah menjangka pengurangan ini dan bersedia untuk segala kemungkinan yang timbul ekoran pengurangan OPR dengan terus memberi fokus dalam mempelbagaikan aliran pendapatan bank, terutamanya dalam segmen pendapatan berasaskan fi,” kata Mohd Muazzam.
Bank akan menyusun strategi untuk mengimbangi portfolio pembiayaan supaya kos dapat diurus dengan lebih berkesan yang akan membantu mengurangkan tekanan margin pendapatan bersih (NIM).
“Kami akan memanfaatkan kemajuan teknologi, dan melaksanakan beberapa inisiatif pendigitalan untuk memacu kecekapan operasi, memberi sokongan tambahan kepada keuntungan jangka panjang dan daya maju keseluruhan,” katanya.
Semakan terakhir BR Bank Islam telah dilaksanakan pada 6 Mac 2020.
— BERNAMA