Belanjawan 2027 akan percepat peralihan daripada R&D kepada teknologi Malaysia – MIMOS

HomeFeaturedTeknologi Dan Inovasi

Belanjawan 2027 akan percepat peralihan daripada R&D kepada teknologi Malaysia – MIMOS

KUALA LUMPUR,. Fokus berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem teknologi dan inovasi melalui Belanjawan 2027, menyediakan peluang untuk memperce

BELANJAWAN 2027: FAMA PERLIS HARAP FOKUS USAHA PERKASA KEUPAYAAN USAHAWAN IMAT
BELANJAWAN 2027: NILAI PEROLEHAN KERAJAAN KHUSUS UNTUK KONTRAKTOR BUMIPUTERA G1-G4 DINAIKKAN KEPADA RM7.5 BILION
PMKS: PERKUKUH EKONOMI ISLAM, KERAJAAN SEDIA GERAN PADANAN SEHINGGA RM5,000 BAGI SIJIL HALAL

KUALA LUMPUR,. Fokus berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem teknologi dan inovasi melalui Belanjawan 2027, menyediakan peluang untuk mempercepat peralihan daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada pengkomersialan, penerimagunaan industri dan nilai ekonomi yang nyata menurut MIMOS Bhd (MIMOS).

MIMOS dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa komitmen kerajaan memajukan agenda teknologi dan inovasi Malaysia, khususnya melalui Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), akan membantu memperkukuh keupayaan R&D negara, membangunkan teknologi buatan tempatan dan menterjemah inovasi kepada manfaat ekonomi serta sosial.

Menurut kenyataan itu, belanjawan tersebut memperuntukkan RM6.0 bilion untuk aktiviti R&D dan pengkomersialan merentas kementerian, manakala Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), secara berasingan akan melabur RM1.2 bilion bagi membantu syarikat semikonduktor tempatan beralih ke segmen bernilai lebih tinggi.

“Langkah-langkah ini memberi peluang untuk menghubungkan keupayaan penyelidikan secara lebih langsung dengan keutamaan perindustrian negara dan permintaan pasaran, termasuk pembangunan keupayaan teknologi bernilai lebih tinggi serta syarikat tempatan yang lebih kukuh,” menurut MIMOS dalam kenyataan itu hari ini.

MIMOS dalam kenyataan itu memaklumkan bahawa belanjawan itu juga memperuntukkan RM30 juta melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), untuk membantu 4,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengguna pakai kecerdasan buatan (AI) dan mengautomasikan operasi mereka.

Menurut kenyataan itu langkah-langkah tersebut, bersama dengan inisiatif untuk menyokong syarikat pemula teknologi, menggariskan kepentingan menterjemah R&D tempatan kepada penyelesaian yang praktikal dan sedia untuk industri, yang boleh diguna pakai oleh perniagaan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MIMOS Dr Saat Shukri Embong berkata langkah seterusnya bagi Malaysia adalah untuk memastikan keupayaan itu diterjemahkan kepada hasil komersial, harta intelek (IP) Malaysia yang lebih kukuh, penerimagunaan industri dan nilai ekonomi.

“Komitmen RM6 bilion untuk R&D dan pengkomersialan, merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh kedaulatan teknologi Malaysia dengan membina keupayaan kita sendiri, membangunkan teknologi buatan tempatan dan mencipta nilai yang lebih besar daripada inovasi Malaysia,” katanya.

Saat Shukri berkata amat penting bagi Malaysia untuk bukan sekadar membangunkan lebih banyak teknologi, tetapi sebaliknya memberi tumpuan kepada membangunkan teknologi yang boleh diguna pakai, diskalakan dan digunakan oleh industri.

Dari perspektif operasi dan penerimagunaan industri, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MIMOS Abdul Rashdee Abdul Kadir berkata penggunaan teknologi, seharusnya mampu menyelesaikan cabaran perniagaan dan industri yang sebenar, supaya ia dapat membantu perniagaan meningkatkan hasil produktiviti mereka.

“Sama ada melalui AI, automasi, pembuatan pintar atau teknologi canggih yang lain, tumpuan harus diberikan ke arah membolehkan syarikat, terutamanya perniagaan yang bersedia untuk berkembang, meningkatkan produktiviti, kecekapan dan daya saing,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Ketua Staf Kumpulan MIMOS Nurezmy A. Majid berkata pembangunan teknologi yang mampan, memerlukan ekosistem yang diselaraskan antara kerajaan, industri, ahli akademik dan institusi R&D, kerana ia tidak boleh berlaku secara berasingan.

“Malaysia memerlukan ekosistem yang kukuh dan terhubung dengan dasar, R&D, permintaan industri, pembangunan bakat dan pengkomersialan bekerjasama. Belanjawan 2027 merupakan satu peluang untuk memperkukuh rantaian ini dan memastikan pelaburan negara dalam keupayaan teknologi sejajar dengan keutamaan ekonomi Malaysia yang lebih luas,” katanya.

Daripada perspektif teknologi, Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan MIMOS Dr Zulaikha Kadim berkata usaha kerajaan, untuk meletakkan teknologi kuantum sebagai bidang kemahiran masa hadapan dalam belanjawan, mengukuhkan keperluan untuk membina kepakaran merentasi teknologi strategik, seperti AI dan semikonduktor yang kini semakin menjadi nadi kepada daya saing ekonomi.

“Peluang ini bukan sekadar untuk mengguna pakai teknologi yang dibangunkan di tempat lain tetapi kita juga harus memperkukuh keupayaan kita untuk membangun, mengesahkan dan mengkomersialkan teknologi yang membawa IP Malaysia serta mampu bersaing di peringkat serantau dan global,” kata Zulaikha.

Dalam pada itu, Ketua Perancangan dan Strategi Korporat Kumpulan MIMOS Dr Hazian Mamat berkata hasil Belanjawan 2027, perlu dijejaki melalui penunjuk yang jelas seperti penerimagunaan industri, kesediaan teknologi, pembangunan IP Malaysia, penyertaan sektor swasta dan pulangan komersial.

“Kita perlu melihat melangkaui projek-projek individu dan mempertimbangkan bagaimana pelaburan hari ini membina keupayaan hari esok. Ini bermakna memperkukuh saluran daripada R&D kepada pengkomersialan, menyokong penggunaan teknologi dan membangunkan bakat yang diperlukan, untuk mengekalkan daya saing Malaysia dalam sektor teknologi strategik,” katanya.

Hazian berkata pendekatan berasaskan hasil itu, penting dalam memastikan setiap pelaburan dalam inovasi menyumbang secara bermakna kepada daya saing jangka panjang Malaysia.

— BERNAMA