KUALA LUMPUR,. Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) meminta kerajaan supaya menyediakan pelepasan cukai bagi perlindungan kritikal seperti insurans g
KUALA LUMPUR,. Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) meminta kerajaan supaya menyediakan pelepasan cukai bagi perlindungan kritikal seperti insurans gangguan perniagaan bagi meningkatkan tahap kemampuan dan akses kepada perlindungan insurans.
PIAM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kerajaan juga wajar menyemak semula pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas perlindungan insurans penting bagi membantu mengurangkan jurang perlindungan di negara ini.
Persatuan itu turut memohon insentif cukai bersasar dan geran teknologi bagi mempercepatkan pendigitalan serta penggunaan kecerdasan buatan (AI), khususnya dalam kalangan pemain industri yang lebih kecil.
Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Chua Kim Soon berkata langkah fiskal bersasar boleh membantu memastikan perlindungan insurans penting kekal mampu dimiliki oleh isi rumah dan perniagaan.
“Sebagai sektor berintensif data, insurans am bergantung pada keupayaan digital moden untuk memperkemas proses pengunderaitan, mencegah penipuan, dan membina daya tahan iklim jangka panjang.
“Pelaksanaan sokongan fiskal bersasar akan membantu memastikan perlindungan penting kekal mudah diakses dan mampu dimiliki oleh perniagaan serta isi rumah di Malaysia dan mempercepatkan kesiapsiagaan kolektif kita terhadap risiko-risiko baharu yang muncul,” katanya kepada Bernama.
PIAM turut menekankan daya tahan iklim sebagai keutamaan utama, serta menggesa penglibatan lebih besar daripada sektor swasta dalam usaha mitigasi banjir, pembangunan infrastruktur yang disesuaikan dengan iklim, dan inisiatif pengurangan risiko lain.
“Daripada melihat bidang-bidang tumpuan ini secara berasingan, PIAM menegaskan bahawa ekosistem kewangan berpandangan jauh memerlukan strategi bersepadu.
“Peningkatan infrastruktur digital dan keupayaan data akan mempertingkatkan pemodelan bencana serta pengurusan risiko, sekali gus membolehkan industri meramal bahaya iklim dengan lebih baik dan menyokong inisiatif penyesuaian iklim negara,” menurut persatuan itu.
— BERNAMA

