BELANJAWAN 2027: FAMA PERLIS HARAP FOKUS USAHA PERKASA KEUPAYAAN USAHAWAN IMAT

HomeFeaturedBerita Semasa

BELANJAWAN 2027: FAMA PERLIS HARAP FOKUS USAHA PERKASA KEUPAYAAN USAHAWAN IMAT

KANGAR,. Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis berharap Belanjawan 2027 dapat menumpukan kepada usaha memperkasakan keupayaan usahawa

Polis tahan 28 etnik Rohingya di sebuah inap desa di Arau
BRICS gesa semua pihak bertenang di Asia Barat, lindungi perdagangan global
PIALA TENGKU PUTERI JIHAN BERI RUANG PELAJAR SERLAH BAKAT TENUNAN

KANGAR,. Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis berharap Belanjawan 2027 dapat menumpukan kepada usaha memperkasakan keupayaan usahawan Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT).

Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan berkata sokongan berterusan berbentuk geran, latihan, bimbingan, pembungkusan, pelabelan dan pemasaran digital penting bagi membantu golongan usahawan berkenaan meningkatkan kapasiti serta mampu memperluas pasaran.

“Capaian kepada geran dan program pembangunan ini perlu terus diperkukuh supaya lebih ramai usahawan, khususnya usahawan mikro dan luar bandar dapat meningkatkan kapasiti perniagaan masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata setakat ini, FAMA Perlis membantu 324 usahawan IMAT dengan membimbing mereka meliputi aspek penambahbaikan, penjenamaan dan pemasaran produk supaya barangan dihasilkan bersedia memasuki pasaran yang lebih luas.

Pada masa sama, Mohd Anzara turut berharap sokongan menerusi Belanjawan 2027 itu juga mampu memperkukuh usaha pemasaran hasil pertanian dan pembangunan usahawan agromakanan di Perlis khususnya dalam menghadapi lambakan hasil serta ketidaktentuan harga komoditi.

Beliau berkata antara keperluan utama pada peringkat negeri ialah peningkatan keupayaan FAMA melaksanakan intervensi pasaran dan pembelian hasil petani apabila berlaku lebihan bekalan atau penurunan harga bagi komoditi tertentu.

“Dengan sokongan mencukupi, FAMA dapat membantu memasarkan hasil petani dengan lebih cepat melalui saluran pemasaran sedia ada seperti program Ladang Kontrak FAMA dan intervensi pasaran. Ini penting supaya hasil yang dikeluarkan petani sentiasa berada di pasaran dan pada masa sama, pendapatan mereka terus terjamin,” katanya.

Mohd Anzara berkata kemudahan rantaian bekalan dan logistik juga penting bagi memperkukuh pemasaran hasil pertanian termasuk kemudahan penyimpanan sejuk, pengangkutan serta pusat pengumpulan dan pemprosesan hasil.

Seorang usahawan IMAT Perlis, Noorhafizah Mazlan, 38, berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menambah nilai geran atau suntikan modal tunai bagi membantu operasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sepertinya.

Noorhafizah yang mengeluarkan produk berasaskan sambal seperti pes sambal serbaguna, sambal hijau bilis petai dan sambal hijau bilis berkata sokongan itu sangat membantu usahawan PKS mendepani cabaran peningkatan kos pengeluaran.

“Usahawan PKS seperti saya turut berdepan persaingan sengit dengan produk lebih terkenal kerana terhad dari segi pasaran kerana saya masih belum memperoleh pensijilan halal dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) kerana perlu melalui prosedur tertentu bagi memenuhi syarat kelulusan,” katanya.

Noorhafizah ialah penerima bantuan FAMA merangkumi pembungkusan dan peralatan menerusi Geran Agropreneur Muda berjumlah RM25,000.

Beliau berkata pada masa ini, produknya dijual menerusi platform media sosial termasuk TikTok, Facebook, Shopee dan AgroBazaar Online selain di beberapa pasar raya kecil dan stesen minyak di sekitar negeri itu.

— BERNAMA