ALOR SETAR,. Pesawah di bawah projek Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SBBA) Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dilihat mampu meningkatkan hasil tuaian
ALOR SETAR,. Pesawah di bawah projek Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SBBA) Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dilihat mampu meningkatkan hasil tuaian sehingga 11 tan padi sehektar menerusi penggunaan benih padi baharu berasaskan teknologi nuklear, NMR152.
Pegawai Penyelidik Agensi Nuklear Malaysia Dr Sobri Hussein berkata varieti padi itu merupakan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui aplikasi teknologi pembiakbakaan mutasi berasaskan teknologi nuklear yang mempunyai potensi hasil tinggi, rintang cuaca serta ciri agronomi yang lebih baik.
“Bagaimanapun, ia masih bergantung kepada kecekapan pengurusan sawah kerana dalam industri padi ini, hasil yang diperolehi bergantung kepada cara pengurusan. Varieti padi ini biasanya menyumbang kira-kira 50 peratus kepada peningkatan hasil, manakala 50 peratus lagi bergantung kepada kaedah pengurusan.
“Jadi, pesawah perlu memberi perhatian kepada aspek pembajaan, kawalan penyakit dan keadaan tanah bagi memastikan ia mampu mengeluarkan hasil yang baik. Kita harap benih yang mengambil masa 10 tahun untuk dibangunkan ini mampu memberi pulangan yang banyak kepada pesawah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan benih padi NMR152 yang disempurnakan Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Datuk Syeikh Zakaria Othman.
Inisiatif projek perintis itu melibatkan penyerahan 2,000 kilogram iaitu 100 beg benih sah NMR152 oleh Agensi Nuklear Malaysia kepada LZNK di Kampung Alor Melintang di sini, bagi memperkasakan ekosistem pertanian padi berkonsepkan pertanian wakaf.
Dalam pada itu, Dr Sobri berkata hasil kajian yang dijalankan mendapati varieti padi berkenaan sesuai bagi membantu pesawah di kawasan yang selalu berhadapan dengan masalah kemarau serta tanah yang kurang sesuai.
“Contohnya, ada kawasan sebelum ini yang mempunyai tanah berbatu dan berpasir dan mereka sukar untuk mendapat hasil yang banyak tetapi selepas mencuba NMR152 ini mereka mula memperoleh hasil yang lebih baik.
“Saya juga ingin memberi jaminan bahawa varieti NMR152 ini adalah selamat sepenuhnya untuk digunakan dan dimakan oleh orang ramai,” katanya.
Sementara itu, wakil peserta SBBA, Iza Faizal Halim, 50, berkata penggunaan varieti baharu itu memberi harapan besar kepada kira-kira 10 peserta projek untuk mengembalikan pencapaian rekod tertinggi mereka sebelum ini.
“Sebelum ini, peserta menggunakan varieti 297 yang mampu merekodkan hasil sekitar enam hingga tujuh tan sehektar tetapi dengan varieti baharu ini kita harap dapat capai hasil lebih 10 tan sehektar seperti yang kita pernah capai kira-kira dua tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Dr Muhammad Rawi berkata kerjasama dengan pihak LZNK itu diharapkan dapat memberi peluang kepada pesawah untuk meningkatkan hasil pendapatan menerusi penggunaan benih NMR152 yang diberikan.
“Inisiatif ini bertujuan menilai keberkesanan varieti padi tersebut dalam meningkatkan produktiviti tanaman dan hasil pengeluaran padi, sekali gus membuka peluang kepada peningkatan pendapatan serta ekonomi pesawah.
Syeikh Zakaria pula berkata LZNK sememangnya mahu memilih benih padi terbaik dan jika benih NMR152 itu berjaya mengeluarkan hasil yang banyak, pihaknya akan meminta nasihat Agensi Nuklear Malaysia supaya ia dapat diperluaskan kepada semua projek di bawah LZNK.
“Selain itu, LZNK sentiasa membuka peluang kepada semua agensi untuk memberi pandangan, nasihat dan bantuan dengan tujuan hendak meningkatkan hasil, penjimatan serta perkongsian modul yang dapat membantu pesawah di negeri ini,” katanya.
— BERNAMA

