
Bina laluan rel khas untuk pengangkutan barang
KUALA LUMPUR,. Shinkansen atau bullet train Jepun, yang boleh mencecah kelajuan sehingga 320 kilometer sejam merupakan antara teknologi yang menunjukkan bagaimana hebatnya negara matahari terbit itu dalam sistem kereta apinya sehingga ia dijadikan sebagai mod pengangkutan utama.
Sistem kereta api di negara itu yang cekap, selamat dan menepati masa cukup menarik minat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu mempelajari bagaimana Jepun mengoptimakan penggunaan sistem relnya; mengambil contoh kesibukan tanpa henti di Stesen Keretapi Tokyo-terminal kereta api terbesar dan tersibuk di Jepun.
Ketika melancarkan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 baru-baru ini, Dr Mahathir mahu sistem rel negara digunakan sepenuhnya, penggunaan kenderaan persendirian dikurangkan, menggalakkan pengangkutan barang menggunakan kereta api dan menjemput pihak swasta menjadi pengendali perkhidmatan rel.
Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans), Dr Harlina Suzana Jaafar berkata situasi yang berlaku di negara ketika ini ialah fokus perkhidmatan rel adalah kepada pengangkutan penumpang dan bukan kepada pengangkutan barang.
“Apabila kita memberi keutamaan kepada penumpang, pengangkutan barang tidak dapat dijalankan sepenuhnya dan akibatnya ia hanya boleh beroperasi selepas 12 tengah malam kerana trek penumpang dan barang dikongsi bersama dan keutamaan diberi kepada tren penumpang,” katanya kepada Bernama.
Antara strategi utama di bawah DPN 2019-2030 ialah mewujudkan pelbagai operator untuk perkhidmatan kereta api serta menaik taraf kemudahan rel di pelabuhan untuk memudahkan pergerakan barang.
Harlina menjelaskan bahawa mengikut kajian pada 2018 oleh Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB), iaitu peneraju perkhidmatan rel tanah air, sebenarnya penggunaan rel telah mencapai kapasiti antara 88 peratus hingga 98 peratus bagi kawasan utara dan tengah.
Namun bagi kawasan pantai timur dan pesisiran pantai kawasan selatan, penggunaan rel masih di bawah kapasiti iaitu masing-masing dalam lingkungan 25 dan 46 peratus, katanya.
“Walau bagaimanapun, kami menjangkakan KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad) akan menambah laluan untuk penumpang dan kargo selepas selesai pemulihan ke atas trek dijalankan kelak dan rel Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) siap sepenuhnya pada tahun depan di kawasan selatan.
“Kita boleh menjangkakan perkhidmatan ETS di kawasan selatan boleh mencapai penggunaan kapasiti sehingga 90 peratus pada tahun 2021,” jelas beliau.
Sehubungan itu, Harlina mencadangkan satu laluan rel khas untuk pengangkutan barang bagi memenuhi perkhidmatan pengangkutan barang diwujudkan di semua pintu masuk perdagangan termasuk, pelabuhan dan lapangan terbang.
“Perkhidmatan ini dapat dikembangkan dengan memperbaiki pengangkutan feeder di setiap stesen pengangkutan penumpang. Sekiranya kita mempunyai laluan rel khas ini sudah tentu kita dapat membina kemudahan memuat dan memunggah, penyimpanan yang cekap dan moden seperti negara maju.
“Ia bagi melancarkan pergerakan barang kerana kemudahan stesen pengangkutan penumpang tentulah berbeza dengan stesen pengangkutan barang.
“Ini sudah tentu dapat mengurangkan kos pengangkutan memandangkan jumlah muatan yang boleh diangkut oleh kereta api 30 kali ganda daripada barang yang diangkut oleh pengangkutan jalan raya,” katanya.
Mungkin cadangan itu, kata Harlina, akan dianggap tidak logik bagi sesetengah pihak, namun faktanya ialah laluan pantai barat sudah penuh penggunaannya dan sekiranya pembinaan landasan khas untuk pengangkutan barang dibuat, maka fasiliti pun boleh dibuat canggih dan moden seperti Jepun.
Jepun telah menghantar dua pasukan pegawai dan pakar kereta api ke Malaysia susulan permintaan perdana menteri untuk mendapatkan bantuan negara itu dalam usaha meningkatkan penggunaan rangkaian kereta api sedia ada negara.
Di Tokyo dan daerah sekitarnya, yang mempunyai gabungan jumlah penduduk sebanyak 36 juta, 60 peratus daripadanya menggunakan pengangkutan awam berbanding 20 peratus di bandar seperti London dan New York.
Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pengangkutan Awam (4PAMS) Ajit Johl berkata dalam usaha memperkasa pengangkutan awam terutamanya perkhidmatan kereta api, kekerapan perjalanannya perlu ditambah disebabkan orang ramai sudah mula berjinak-jinak dengan perkhidmatan itu ketika ini.
Ajit berkata ia disebabkan harganya yang murah, risiko kemalangan yang rendah, serta paling penting, tidak perlu menempuh kesesakan jalan raya.
Katanya, pelawaan kerajaan kepada syarikat swasta untuk menjadi pengendali rel di negara ini juga amat tepat bagi menggalakkan lebih banyak pilihan kepada pengguna apabila pasaran perniagaan dalam sistem itu dapat dipecahkan bergantung kepada kategori permintaan.
— BERNAMA
Laporan eksklusif oleh Hasnah Jusid