BN kemuka satu nama calon MB Negeri Sembilan kepada Istana

HomeFeaturedPolitik

BN kemuka satu nama calon MB Negeri Sembilan kepada Istana

PUTRAJAYA,. Barisan Nasional (BN) telah mengemukakan satu nama calon Menteri Besar yang baharu untuk pertimbangan dan perkenan Yang Dipertuan Besar Ne

BNM pastikan pasaran kewangan kekal teratur hadapi ketidaktentuan global
FCoEE PERKASA PELAJAR ASNAF DALAM BIDANG AI, SAINS DAN TEKNOLOGI
Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia pagi ini

PUTRAJAYA,. Barisan Nasional (BN) telah mengemukakan satu nama calon Menteri Besar yang baharu untuk pertimbangan dan perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, susulan peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata nama calon itu telah diserahkan kepada pihak istana semalam.

“Warkah kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah diserahkan berikutan daripada penyerahan surat peletakan jawatan (Ismail) yang diutus kepada Tuanku, dan saya juga mendapat surat peletakan jawatan sama.

“Ekoran daripada itu, menjadi suatu kelaziman untuk parti khususnya BN, mengutus warkah mencadangkan nama Menteri Besar yang baharu bagi mendapat perkenan Tuanku dan terserahlah kepada Tuanku untuk memberikan perkenan terhadap nama yang telah saya kemukakan,” katanya kepada media.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian selepas merasmikan Festival Idea Putrajaya, di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata sekiranya nama calon yang dikemukakan itu mendapat perkenan Tuanku Muhriz, pengumuman mengenainya akan dibuat pihak istana.

“Saya, selaku ketua parti, sebagai Pengerusi BN, menyerahkan sepenuhnya soal budi bicara dan perkenan kepada Tuanku Muhriz untuk berkenan dan juga untuk pihak istana mengumumkannya,” katanya.

Mengenai peletakan jawatan Ismail, beliau berkata parti tidak pernah mengarahkan wakil rakyat berkenaan berbuat demikian, sebaliknya keputusan itu dibuat atas kerelaan sendiri.

“Beliau tidak memberikan alasan. Mungkin atas rasa kesedaran bahawa beliau mahu supaya permasalahan (di Negeri Sembilan) ini dapat dirungkaikan dengan secepat mungkin,” katanya.

Ditanya sama ada pelantikan Menteri Besar yang baharu itu dapat menyelesaikan krisis perlembagaan di Negeri Sembilan, Ahmad Zahid berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya.

Terdahulu, Zambry yang juga Setiausaha Agung UMNO dalam kenyataan malam tadi memaklumkan Ahmad Zahid telah menerima satu salinan surat peletakan jawatan Ismail yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Sementara itu, Istana Negeri Sembilan menerusi kenyataan turut mengambil maklum pengumuman Setiausaha Agung BN berhubung peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata UMNO negeri merakamkan penghargaan atas khidmat serta sumbangan Ismail sepanjang menerajui pentadbiran kerajaan negeri itu.

Beliau berkata UMNO negeri memberi kerjasama penuh kepada pucuk pimpinan tertinggi parti bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar dan kebajikan rakyat terus terpelihara.

“Dalam memastikan proses ini berjalan dengan baik, UMNO negeri memberikan keyakinan atas kebijaksanaan dan menjunjung titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas biro politik negeri bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional di Wisma UMNO negeri di Seremban hari ini.

Ditanya mengenai ketidakhadiran Ismail pada mesyuarat khas itu, Jalaluddin berkata ADUN Juasseh dijemput namun berkemungkinan mempunyai urusan lain yang perlu diselesaikan selain beberapa ADUN lain juga tidak dapat menghadiri pertemuan atas urusan masing-masing.

Beliau berkata semua pihak perlu memastikan kemelut berkenaan ditangani secara baik, berhemah dan harmoni supaya pentadbiran kerajaan negeri dapat berjalan lancar.

Ismail, 67, mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lepas.

— BERNAMA