
Brazil berkas ketua kumpulan gengster Itali
BRASÍLIA: Ketua kumpulan gengster Itali Rocco Morabito telah ditangkap di timur laut Brazil kelmarin, kata polis, hampir dua tahun selepas dia meloloskan diri dari penjara di Uruguay di mana dia sedang menunggu ekstradisi ke Itali.
Morabito, dianggap sebagai seorang “capo” atau kapten bagi kumpulan ‘Ndrangheta, telah ditangkap di bandar Joao Pessoa bersama dengan seorang lagi “penjenayah” Itali hasil siasatan bersama dengan Itali, kata polis persekutuan Brazil dalam satu kenyataan.
Morabito telah dikehendaki di Itali atas tuduhan mengedar dadah. “Terdapat rekod mengenai penglibatan Rocco Morabito dalam pengedaran dadah antara Brazil dan Eropah sejak 1990,” menurut polis Brazil. Mahkamah Agung Persekutuan Brazil telah mengemukakan satu waran tangkap.
Digelar sebagai “raja ko-kain”, Morabito merupakan salah seorang lelaki paling dikehendaki di Itali ketika dia ditangkap di sebuah hotel Montevideo pada September 2017. Ketika itu, dia sudah hidup selama 13 tahun dengan identiti palsu di pekan peranginan Uruguay di Punta del Este.
Dia telah dijatuhkan hukuman tanpa kehadirannya bagi penjara selama 28 tahun oleh sebuah mahkamah Itali pada 2015, satu hukuman yang kemudian ditambahkan kepada 30 tahun.
Pada Jun 2019, kementerian dalam negara Uruguay mengumumkan Morabito serta tiga banduan lain telah meloloskan diri melalui sebuah lubang pada bumbung penjara di bandar Montevideo, menimbulkan satu pemburuan besar-besaran dan menyebabkan ketua penjara Uruguay meletakkan jawatan.
Mafia ‘Ndrangheta yang sangat digeruni di Itali di-katakan menjalankan sebahagian besar perdagangan kokain di Eropah dari Calabria di barat daya, Ia turut terlibat dalam penyeludupan senjata, pelacuran dan peras ugut.
Morabito tiba di Milan dari kampung halamannya Africo, di wilayah Calabria, pada usia 23 tahun, dan se-gera melakar reputasi dalam kegiatan dadah. “Digelar ‘U Tamunga’ yang merujuk kepada sebuah kenderaan tentera Jerman, DKW Munga, Morabito ketika mudanya dikenali sebagai seorang yang berkarisma di Milan yang sering mengunjungi bar dan parti, menurut laporan media Itali.
Dia kemudian mendapat perhatian dari penyiasat anti-Mafia di Itali dan mereka sering mengesan dia menghantar beg pakaian yang dipenuhi dengan jutaan lira kepada pengedar dadah Colombia.
Pihak polis bertindak ketika ulang tahunnya semasa dia melakukan apa yang sepatutnya menjadi penghantaran terakhirnya pada Oktober 1994, namun dia berjaya melepaskan diri.
— Agency