KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pada Khamis, menjejaki prestasi bercampur-campur Wall Street berikutan hasil bon Perbendaharaan AS yang le
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pada Khamis, menjejaki prestasi bercampur-campur Wall Street berikutan hasil bon Perbendaharaan AS yang lebih tinggi serta ketegangan berterusan di Asia Barat menjejaskan minat belian.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.74 mata atau 0.22 peratus kepada 1,647.43 daripada paras 1,651.17 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.30 mata lebih rendah pada 1,649.87.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 200 berbanding 142, manakala 307 kaunter tidak berubah, 2,124 kaunter tidak diniagakan dan 12 kaunter digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 246.59 juta saham bernilai RM118.14 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata Wall Street ditutup bercampur-campur apabila inflasi yang lebih rendah mengurangkan jangkaan terhadap satu lagi kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS, meskipun hasil bon yang kekal tinggi terus menjejaskan sentimen.
Di peringkat domestik, beliau berkata, indeks penanda aras pasaran mungkin cenderung diniagakan berhati-hati, dengan sentimen keseluruhan pasaran yang lemah dan jualan asing baru-baru ini menunjukkan pelabur terus mengambil pendekatan berhati-hati.
“Justeru, bagi hari ini, kami menjangkakan indeks kekal dalam mod pengukuhan dalam julat 1,640-1,660, dengan aktiviti pembelian ketika harga rendah dijangka mengehadkan penurunan,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM9.90 dan RM7.83. Public Bank susut tiga sen kepada RM4.67, CIMB berkurangan satu sen kepada RM7.78 dan Tenaga Nasional turun dua sen kepada RM12.94.
Dalam dagangan aktif, saham yang baru disenaraikan di Pasaran ACE, GB Bond susut setengah sen kepada 24.5 sen, manakala VS Industry tidak berubah pada 28 sen. Astro Malaysia menambah setengah sen kepada enam sen, Jaks Resources meningkat satu sen kepada 21.5 sen dan Divfex menokok dua sen kepada 11 sen.
Antara kaunter untung utama, Keck Seng meningkat 11 sen kepada RM5.14 dan Petron Malaysia menambah tujuh sen kepada RM3.47. Hengyuan Refining dan Spritzer masing-masing naik enam sen kepada RM3.62 dan RM3.67, manakala Jati Tinggi mengukuh lima sen kepada RM1.44.
Kuala Lumpur Kepong mendahului kaunter rugi apabila susut 18 sen kepada RM22.02. UWC pula berkurangan 15 sen kepada RM6.92, manakala Insights Analytics dan MISC masing-masing turun sembilan sen kepada RM1.20 dan RM7.55. Petronas Dagangan susut lapan sen kepada RM19.20.
Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 susut 42.26 mata kepada 17,532.41, Indeks FBM Emas berkurangan 26.32 mata kepada 12,265.69, manakala Indeks FBM Top 100 turun 27.82 mata kepada 12,056.62.
Indeks FBM Emas Shariah susut 22.09 mata kepada 12,154.26, manakala Indeks FBM ACE berkurangan 6.31 mata kepada 5,527.97.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.10 mata kepada 180.31, manakala Indeks Tenaga meningkat 1.41 mata kepada 847.11. Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 27.47 mata kepada 19,189.02, manakala Indeks Perladangan merosot 33.34 mata kepada 9,163.33.
— BERNAMA

