Bursa dibuka tidak menentu pada awal dagangan

HomeFeaturedBusiness

Bursa dibuka tidak menentu pada awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia memulakan dagangan Khamis dengan lebih tinggi sebelum beralih rendah, meskipun Wall Street mencatat prestasi positif sem

Bursa dibuka rendah pada awal dagangan pagi ini
Bursa dibuka tinggi pada awalnya kembali menyusut selepa itu
Bursa dibuka rendah pada awal dagangan hari ini

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia memulakan dagangan Khamis dengan lebih tinggi sebelum beralih rendah, meskipun Wall Street mencatat prestasi positif semalaman, dalam keadaan sentimen pelabur dijangka kekal tidak menentu dalam tempoh terdekat.

Pada 9.10 pagi, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.51 mata kepada 1,716.17 daripada 1,716.68 semalam.

Ketika dibuka, indeks penanda aras itu naik 2.78 mata kepada 1,719.46.

Sentimen pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung, iaitu 187 berbanding 106, manakala 260 kaunter tidak berubah, 2,205 tidak diniagakan dan 76 digantung.

Jumlah dagangan mencecah 154.26 juta saham bernilai RM124.57 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Wall Street meningkat pada akhir dagangan susulan penurunan harga minyak mentah apabila Amerika Syarikat (AS) mengemukakan cadangan gencatan senjata 15 perkara kepada Iran bagi menamatkan konflik yang melibatkan AS dan Israel.

“Kami percaya aktiviti belian pada harga rendah akan berlaku. Oleh itu, indeks dijangka bergerak dalam julat 1,710 hingga 1,720 hari ini,” katanya.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM11.48, Public Bank susut dua sen kepada RM4.91, CIMB meningkat satu sen kepada RM7.90, Tenaga Nasional kekal pada RM14.42 dan IHH Healthcare turun lima sen kepada RM8.94.

Bagi kaunter paling aktif, Sunway Healthcare meningkat 10 sen kepada RM2.22, Astro tidak berubah pada lapan sen, TWL susut setengah sen kepada dua sen, Handal Energy naik setengah sen kepada 3.5 sen, manakala Zetrix AI berkurangan dua sen kepada 73 sen.

Kaunter paling untung didahului oleh Allianz yang melonjak 36 sen kepada RM21.06, diikuti Petronas Chemicals naik 22 sen kepada RM5.68, Petronas Dagangan meningkat 12 sen kepada RM21.72 dan Hong Leong Financial menambah 10 sen kepada RM19.66.

Sebaliknya, kaunter paling rugi termasuk Nestle yang susut 36 sen kepada RM97.64, United Plantations turun 20 sen kepada RM33.40, Malaysian Pacific berkurangan 12 sen kepada RM28.78 dan Carmin Petroleum merosot 10 sen kepada 34 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 susut 9.93 mata kepada 12,326.0, Indeks FBM Emas turun 12.28 mata kepada 12,462.56 dan Indeks FBM ACE merosot 10.35 mata kepada 4,359.95.

Indeks FBM 70 berkurangan 40.90 mata kepada 16,922.86 manakala Indeks FBM Emas Shariah susut 13.76 mata kepada 12,180.73.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 20.50 mata kepada 20,590.12, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.03 mata kepada 181.15, Indeks Perladangan turun 9.93 mata kepada 8,569.52 dan Indeks Tenaga susut 0.91 mata kepada 784.45.

–BERNAMA