Bursa dibuka rendah pada pagi ini

HomeFeaturedBusiness

Bursa dibuka rendah pada pagi ini

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pada Rabu berikutan sentimen yang lemah susulan prestasi bercampur-campur Wall Street semalaman, apabila p

Bursa dibuka tinggi pada awal dagangan
Bursa dibuka tinggi pada pagi ini
Bursa dibuka tinggi pada pagi ini

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pada Rabu berikutan sentimen yang lemah susulan prestasi bercampur-campur Wall Street semalaman, apabila penurunan saham teknologi, perindustrian dan bahan menjejaskan Nasdaq serta S&P 500.

Pada 9.18 pagi, FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) susut 4.19 mata kepada 1,557.49 daripada paras 1,561.68 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.65 mata lebih rendah pada 1,561.03.

Sentimen pasaran secara meluas negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 307 berbanding 122. Sebanyak 218 kaunter tidak berubah, manakala 2,186 tidak diniagakan dan 102 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 283.15 juta unit bernilai RM125.78 juta.

Dalam nota penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd berkata Nasdaq susut 1.48 peratus dan S&P 500 turun 0.49 peratus, manakala Dow meningkat 0.86 peratus.

“Saham semikonduktor dan perkakasan, termasuk Analog Devices Inc, Hewlett Packard Enterprise Co, Dell Technologies Inc dan Nvidia Corp, merosot, manakala kenaikan saham Nike Inc, Amgen Inc, Merck & Co Inc dan Dollar Tree Inc memberikan sokongan,” menurut firma itu.

Firma penyelidikan itu berkata, penurunan saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) di Amerika Syarikat (AS) boleh menjejaskan sentimen pasaran.

Sehubungan itu, FBM KLCI dijangka diniagakan dengan berhati-hati, ketika pelabur berkemungkinan beralih kepada sektor defensif dan saham perindustrian yang berdaya tahan.

Menurut firma itu TMK Chemical Bhd menjadi antara saham pilihannya, disokong oleh peningkatan 91.5 peratus keuntungan bersih pada suku kedua 2026 kepada RM40.8 juta berbanding setahun sebelumnya, selain pengambilalihan Chemical Company of Malaysia Bhd yang dijangka membuka peluang kepada integrasi menegak.

“Gas Malaysia Bhd mungkin menarik minat pelabur susulan peningkatan 10.1 peratus tahun ke tahun dalam keuntungan bersih suku ketiga 2026 kepada RM104.7 juta, disokong oleh permintaan gas yang semakin meningkat daripada inisiatif peralihan tenaga dan peluang penjanaan bersama di pusat data.

“Kami juga memilih Life Water Bhd kerana harga minyak mentah yang lebih rendah boleh mengurangkan kos resin dan menyokong margin keuntungan,” menurut firma itu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Telekom Malaysia meningkat satu sen kepada RM7.65, IHH Healthcare dan Petronas Dagangan masing-masing menambah dua sen kepada RM7.88 dan RM19.24, manakala Nestle susut empat sen kepada RM95.00 dan Press Metal Aluminium turun lima sen kepada RM6.35.

Dalam dagangan aktif, Nexg Bina dan JAKS Resources masing-masing meningkat setengah sen kepada empat sen dan 10 sen. IOIPG Malaysia Real Estate Investment Trust yang baru disenaraikan di Pasaran Utama, susut 2.5 sen kepada 88.5 sen, Dagang NeXchange turun satu sen kepada 41.5 sen, manakala Kinergy Advancement merosot setengah sen kepada 36 sen.

Antara saham lain yang paling untung, Kuala Lumpur Kepong, yang meningkat 32 sen kepada RM21.12, Kelington Group naik 21 sen kepada RM7.28, KESM Industries menambah 14 sen kepada RM4.10, manakala Hengyuan Refining Company dan SD Guthrie masing-masing meningkat tujuh sen kepada RM2.75 dan RM5.98.

Malaysian Pacific Industries mendahului senarai saham rugi apabila susut RM1.46 kepada RM35.54. Dutch Lady Milk Industries turun 30 sen kepada RM27.50, Petronas Chemicals susut 17 sen kepada RM3.63, Pentamaster Corporation merosot 16 sen kepada RM4.64 dan UWC turun 14 sen kepada RM5.91.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 45.26 mata kepada 11,466.47, Indeks FBM Top 100 turun 43.36 mata kepada 11,314.29, Indeks FBM ACE merosot 44.93 mata kepada 4,692.63, Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 45.49 mata kepada 11,305.62, manakala Indeks FBM Mid 70 turun 116.31 mata kepada 16,099.57.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 50.97 mata kepada 8,692.05, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 44.50 mata kepada 18,443.51, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.82 mata kepada 158.70, manakala Indeks Tenaga merosot 0.73 mata kepada 736.35.

— BERNAMA