Bursa dibuka tinggi pada pagi

Bursa dibuka tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Minat belian yang diperbaharui selepas mengalami tekanan jualan semalam menyaksikan Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini.

Selain itu, pasaran turut mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang lebih baik, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 11.67 mata kepada 1,601.65 daripada penutupan Isnin iaitu 1,589.98.

Pada awal pembukaan urus niaga, indeks utama itu turut mengukuh 9.74 mata kepada 1,599.72.

Di pasaran yang lebih luas pula, kaunter untung mengatasi rugi dengan 254 berbalas 80 manakala 188 kaunter tidak berubah, 1,768 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Sebanyak 136.07 juta dicatatkan untuk jumlah dagangan yang bernilai RM50.83 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, Wall Street melantun semula apabila Indeks Dow Jones meningkat 0.7 peratus selepas pulih daripada paras terendah hariannya disebabkan aktiviti memburu saham murah menjelang pengumuman pendapatan korporat daripada beberapa gergasi teknologi akhir minggu ini.

“Walaupun aktiviti memburu saham murah mungkin muncul berikutan kemerosotan semalam, kami menjangkakan sentimen pelabur masih kekal berhati-hati dan pergerakan menaik untuk FBM KLCI dilihat terbatas sekitar paras 1,600 buat masa ini.

“Namun begitu, kami tetap yakin dengan sektor bertemakan pemulihan berikutan penurunan kes harian COVID-19,” kata firma itu dalam nota hari ini.

Bagi komoditi, firma itu berkata harga minyak mentah berlegar melebihi paras US$100, manakala niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) diniagakan melepasi paras RM6,200 satu tan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menokok tiga sen kepada RM8.92, Public Bank meningkat satu sen kepada RM4.72, kedua-dua Petronas Chemicals dan IHH Healthcare lebih tinggi sebanyak 14 sen kepada RM10.26 dan RM6.70 dan CIMB naik empat sen kepada RM5.20.

Antara saham aktif, Yong Tai dan South Malaysia Industries tidak berubah, masing-masing pada 10.5 sen dan 34.5 sen, Techna-X rugi setengah sen menjadi 10.5 sen, manakala Siab naik setengah sen kepada 22 sen dan KPower meningkat dua sen kepada 56.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 memperoleh 80.04 mata kepada 11,101.69, Indeks FBM Emas mengembang 81.33 mata menjadi 11,446.93, Indeks FBM Emas Syariah meraih 103.76 mata kepada 12,045.83, FBM 70 naik 94.63 mata kepada 13,637.69 dan FBM ACE mengembang 43.76 mata kepada 5,626.67.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.17 mata kepada 211.29, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 82.68 mata kepada 16,825.23 dan Indeks Perladangan lebih tinggi sebanyak 26.66 mata kepada 8,874.25.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)