
Bursa dibuka tinggi pada pagi ini
KUALA LUMPUR,. Selepas lima hari berturut-turut berada dalam kerugian, dagangan Bursa Malaysia kembali pulih dengan pelabur terus menantikan pembentangan semula Belanjawan 2023 esok.
Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.72 mata kepada 1,466.72 daripada penutupan Rabu iaitu 1,464.0.
Indeks utama mengukuh pagi ini dan dibuka 0.58 mata lebih tinggi pada 1,464.58.
Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi 166 berbalas 111, manakala 226 kaunter tidak berubah, 1,732 tidak dipertikaikan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan yang direkodkan adalah 238.43 juta unit bernilai RM65.95 juta.
Dalam nota hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata para pelabur terus memantau perkembangan pembentangan semula Belanjawan 2023 pada Jumaat (esok) serta kadar inflasi Malaysia.
Menurut firma pembrokeran itu, Indeks Dow Jones Wall Street turun 0.26 peratus selepas minit mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) memberi isyarat bahawa kenaikan kadar faedah mungkin berterusan di tengah-tengah kebimbangan terhadap tekanan inflasi.
Ia menambah pelabur dijangka terus mengambil sikap berhati hati sambil memantau data inflasi untuk mendapatkan lebih banyak petunjuk mengenai jala tujuh kadar faedah pada masa hadapan.
Bagi komoditi, harga minyak mentah Brent berlegar turun ke arah AS$80 setong, manakala harga minyak sawit mentah (CPO) bergerak melepasi paras RM4,200.
Berkenaan sektor fokus pula, ia berkata pelabur mungkin meninjau peluang dagangan dalam tenaga boleh diperbaharui, kenderaan elektrik dan sektor pembinaan sebelum pembentangan semula Belanjawan 2023, sementara sektor perladangan dijangka memperoleh momentum berikutan harga minyak sawit mentah yang mantap.
Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa, Maybank menambah empat sen kepada RM8.70, Petronas Chemical meningkat tujuh sen kepada RM8.27 dan Tenaga Nasional peroleh satu sen kepada RM9.66, manakala Public Bank dan CIMB tidak berubah, masing-masing pada RM4.13 dan RM5.47.
Bagi aktif, Dagang Nexchange mengukuh 4.5 sen kepada 66.5 sen, AimFlex memperoleh 1.5 sen untuk mencatatkan harga 16 sen, Hextar Industries naik satu sen kepada 81 sen dan Sapura Energy kekal pada 4.5 sen, manakala Hong Seng kerugian tiga sen kepada 15.5 sen.
Di papan indeks, indeks FBM EMAS menambah 14.05 mata kepada 10,653.26, indeks FBMT 100 meraih 12.96 mata kepada 10,328.98 dan indeks FBM EMAS Syariah mengembang 12.08 mata kepada 10,981.13.
Sementara itu, indeks FBM ACE menokok 19.30 mata kepada 5,499.89 dan indeks FBM 70 menguncup 10.07 mata kepada 13,378.79.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 3.03 mata kepada 6,836.04, Indeks Tenaga lebih tinggi 0.67 mata menjadi 862.67, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.69 mata pada 186.72 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 23.85 mata kepada 16,019.32.
–BERNAMA