
Bursa dibuka tinggi pada pagi ini
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meneruskan keuntungan yang dicatatkan pada Jumaat mingu lalu untuk memulakan urus niaga pagi ini lebih tinggi, didorong oleh kegiatan memburu saham berharga rendah yang berterusan oleh dana asing, kata seorang peniaga.
Pada jam 9.03 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 9.94 mata kepada 1,601.66 berbanding 1,591.72 pada penutup Jumaat.
Indeks utama itu meningkat 4.02 mata kepada 1,595.74.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi 223 berbalas 109 manakala 255 kaunter tidak berubah, 1,691 tidak diniagakan dan 51 yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 142.75 juta unit bernilai RM70.12 juta.
Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, Wall Street masih kukuh walaupun berlaku ketegangan yang berterusan di Ukraine, menyaksikan Purata Perindustrian Dow Jones (Purata DJI) melonjak 835 mata untuk melepasi paras 34,000, manakala Nasdaq naik 221 mata.
“Sama ada pembelian sedemikian boleh bertahan, ia masih belum diketahui,” katanya kepada Bernama.
Di pasaran domestik pula, beliau menambah FBM KLCI dijangka meneruskan aliran menaiknya dalam julat antara 1,585-1,600 hari ini, didorong oleh beberapa pengumuman pendapatan korporat yang baik sejak kebelakangan ini.
Bagi saham wajaran tinggi Bursa, Maybank naik enam sen kepada RM8.94, Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing menambah tiga sen kepada RM4.40 dan RM9.32, CIMB meningkat satu sen kepada RM5.68, dan IHH Healthcare menokok 12 sen kepada RM6.60.
Dalam kalangan saham aktif, Siab Holdings mengembang tiga sen kepada 33 sen, manakala KNM Group susut satu sen kepada 15.5 sen dan EA Technique turun 2.5 sen kepada 4.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 65.42 mata kepada 11,415.66, Indeks FBMT 100 melonjak 64.85 mata kepada 11,088.02 dan Indeks FBM Emas Syariah peroleh 67.88 mata kepada 12,084.35.
Sementara itu, FBM 70 lebih tinggi sebanyak 61.77 mata kepada 13,577.71 dan FBM ACE mengukuh 22.41 mata kepada 5,971.25.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.38 mata kepada 209.03, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 93.52 mata kepada 16,578.17 dan Indeks Perladangan mengukuh 90.44 mata kepada 8,188.73.
–BERNAMA