KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia memulakan dagangan lebih tinggi pada Selasa apabila aliran masuk semula dana asing dijangka terus menyokong pemulihan In
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia memulakan dagangan lebih tinggi pada Selasa apabila aliran masuk semula dana asing dijangka terus menyokong pemulihan Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI).
Pada jam 9.05 pagi, indeks petunjuk pasaran meningkat 1.40 mata kepada 1,723.69 berbanding 1,722.29 ketika ditutup pada Isnin.
Indeks itu dibuka meningkat 3.33 mata kepada 1,725.62.
Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 132 berbanding 110, manakala 249 kaunter tidak berubah, 2,224 kaunter tidak diniagakan dan 12 lagi digantung dagangan.
Jumlah dagangan berjumlah 158.83 juta saham bernilai RM135.176 juta.
Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd, asas ekonomi domestik yang berdaya tahan serta aliran masuk semula dana asing dijangka terus menyokong pemulihan KLCI, namun peningkatan dalam tempoh terdekat mungkin dihadkan oleh beberapa faktor luaran.
“Faktor itu termasuk tumpuan pasaran terhadap beberapa saham tertentu, penilaian saham kecerdasan buatan dan teknologi yang dilihat tinggi, ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat, kecenderungan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) untuk menaikkan kadar faedah serta musim pengumuman prestasi kewangan syarikat di AS bagi suku kedua 2026.
“Kesemua faktor ini boleh menyebabkan pasaran terdedah kepada penetapan semula harga yang ketara,” menurutnya dalam nota penyelidikan.
Indeks Dow Jones susut 0.58 peratus bagi sesi ketiga berturut-turut apabila kenaikan harga minyak dan ketegangan geopolitik mengatasi sentimen positif daripada pemulihan saham semikonduktor.
Keadaan itu susulan ancaman kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yemen untuk mengenakan sekatan laut terhadap Arab Saudi, yang berpotensi membuka satu lagi medan konflik dalam ketegangan antara AS dan Iran.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat dua sen kepada RM11.04, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM5.19 dan RM8.50, Tenaga Nasional naik empat sen kepada RM14.34, manakala CIMB susut satu sen kepada RM7.74.
Bagi saham aktif, Aimax dan Ingenieur Gudang masing-masing tidak berubah pada satu sen dan empat sen, manakala Stratus Global yang mula disenaraikan di Pasaran Utama melonjak RM1.18 kepada RM1.98. GIIB meningkat 2.5 sen kepada 54 sen, manakala HHRG menambah satu sen kepada 17 sen.
Kaunter paling untung menyaksikan Mi Technovation meningkat 93 sen kepada RM5.80, Malaysian Pacific Industries naik 58 sen kepada RM45.24, Vitrox dan Telekom Malaysia masing-masing menambah sembilan sen kepada RM7.78, manakala MISC meningkat enam sen kepada RM8.02.
Bagi kaunter paling rugi, Kuala Lumpur Kepong mendahului penurunan selepas susut 14 sen kepada RM21.44, PJBumi merosot sembilan sen kepada RM3.65, UWC berkurangan enam sen kepada RM5.84, PPB turun lima sen kepada RM9.55 dan Press Metal Aluminium susut empat sen kepada RM7.87.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 18.37 mata kepada 12,719.55, Indeks FBM Top 100 menambah 18.31 mata kepada 12,550.47, manakala Indeks FBM Emas Syariah naik 26.39 mata kepada 12,556.05.
Indeks FBM Mid 70 meningkat 60.94 mata kepada 17,975.83, manakala Indeks FBM ACE menokok 5.50 mata kepada 4,916.27.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 15.26 mata kepada 20,313.44. Bagaimanapun, Indeks Tenaga susut 1.47 mata kepada 774.29, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.36 mata kepada 186.83, manakala Indeks Perladangan turun 4.47 mata kepada 9,489.07.
SUMBER;
–BERNAMA

