
Bursa dibuka tinggi pada pagi ini
KUALA LUMPUR,. Dagangan di Bursa Malaysia dibuka tinggi untuk seketika pagi sebelum menyusut sedikit selepas itu apabila pelabur memilih tidak memasuki pasaran kerana kekurangan pemangkin pasaran.
Pada 9.10 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.02 mata kepada 1,597.29 daripada penutupan Khamis pada 1,597.31.
Indeks dibuka 4.71 mata lebih tinggi pada 1,602.02.
Di pasaran yang lebih luas menyaksikan 219 kaunter untung dan 130 kaunter rugi, manakala 266 kaunter tidak berubah, 1,673 tidak diniagakan dan 67 yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 185.11 juta bernilai RM95.65 juta.
Menurut Rakuten Trade Sdn Bhd dalam catatannya hari ini, Wall Street melantun dengan kukuh semalaman, dirangsang oleh sejumlah besar pendapatan korporat yang baik, dengan Purata Indeks Dow Jones meningkat sebanyak 614 mata manakala Nasdaq ditutup 383 mata lebih tinggi.
“Untuk hari ini, kami menjangkakan beberapa kegiatan jualan akan muncul memandangkan bursa tempatan akan ditutup selama tiga hari minggu depan sempena sambutan Hari Raya. Justeru, kami berpendapat indeks diunjur berlegar dalam julat 1,590-1,600,” kata broker itu.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa, Maybank turun satu sen kepada RM9.03, IHH Healthcare kerugian lima sen kepada RM6.60, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.72 dan Petronas Chemicals naik 12 sen kepada RM10.22 manakala CIMB tidak berubah pada RM5.19.
Bagi saham aktif, Euro Holdings naik 5.5 sen kepada 23 sen, Vortex meningkat satu sen kepada 19 sen, PUC meraih 1.5 sen kepada 12.5 sen, YTL menokok 2.5 sen kepada 62 sen manakala Anzo turun satu sen kepada setengah sen.
Di papan indeks, Indeks FBM ACE mengukuh 30.57 mata kepada 5,616.34, FBM 70 lebih tinggi sebanyak 37.52 mata kepada 13,748.79, Indeks FBM Emas mengembang 7.72 mata menjadi 11,443.21, Indeks FBMT 100 mengukuh 6.97 mata kepada 11,099.35 dan Indeks FBM Emas Syariah peroleh 2.73 mata kepada 11,993.27.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 11.89 mata kepada 16,923.36, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian 0.71 mata lebih tinggi menjadi 210.13 sementara Indeks Perladangan susut 16.29 mata kepada 8,768.62.
— Bernama