KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia memulakan dagangan Khamis dengan lebih tinggi, disokong sentimen pasaran yang bertambah baik susulan lanjutan gencatan
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia memulakan dagangan Khamis dengan lebih tinggi, disokong sentimen pasaran yang bertambah baik susulan lanjutan gencatan senjata di Asia Barat oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, selain prestasi semalaman Wall Street yang lebih kukuh.
Pada jam 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.74 mata kepada 1,717.13 berbanding 1,710.52 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 5.16 mata lebih tinggi kepada 1,715.55, dengan saham perbankan antara pemacu utama kenaikan awal pasaran.
Sentimen keseluruhan pasaran positif apabila 251 kaunter mencatat kenaikan berbanding 125 kaunter rugi, manakala 361 kaunter tidak berubah, 2,034 kaunter tidak diniagakan dan 43 kaunter digantung.
Jumlah dagangan mencecah 207.58 juta saham bernilai RM116.32 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata Wall Street ditutup lebih kukuh susulan perkembangan positif berkaitan gencatan senjata, selain disokong pendapatan memberangsangkan daripada Boeing.
“Bagaimanapun, sentimen kekal berhati-hati apabila harga minyak mentah meningkat dengan minyak mentah Brent melepasi AS$100 setong.
“Sementara itu, hasil 10 tahun AS meningkat sedikit kepada 4.307 peratus,” katanya kepada Bernama.
Beliau menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,700 hingga 1,720 hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah 10 sen kepada RM11.32, Public Bank meningkat lima sen kepada RM4.81, CIMB Group naik enam sen kepada RM7.80 dan IHH Healthcare menokok empat sen kepada RM8.85, manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.52.
Bagi saham paling aktif, AMS Advanced Material yang baharu disenaraikan di Pasaran ACE susut satu sen kepada 28 sen, NexG naik satu sen kepada 32.5 sen, AirAsia X turun tiga sen kepada RM1.27, Velesto Energy meningkat satu sen kepada 34 sen dan Zetrix AI menambah satu sen kepada 87 sen.
Antara kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries melonjak 88 sen kepada RM36.52, Dutch Lady Milk Industries naik 12 sen kepada RM32.50, Country View menambah 10 sen kepada RM3.20, SAM Engineering meningkat lapan sen kepada RM3.98 dan Press Metal naik enam sen kepada RM7.92.
Bagi kaunter paling rugi, Petronas Dagangan susut 32 sen kepada RM20.28, United Plantations turun 22 sen kepada RM33.50, WATTA Holding merosot tujuh sen kepada 30 sen, KESM Industries berkurangan lima sen kepada RM3.32 dan AGX Group susut tiga sen kepada 43 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 45.35 mata kepada 12,498.94, Indeks FBM Emas naik 43.31 mata kepada 12,661.33, Indeks FBM Mid 70 menambah 48.91 mata kepada 17,884.18, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 16.64 mata kepada 12,497.83 dan Indeks FBM ACE naik 3.22 mata kepada 4,624.77.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 135.55 mata kepada 20,288.50, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.62 mata kepada 186.50, manakala Indeks Tenaga susut 0.07 mata kepada 821.97 dan Indeks Perladangan berkurangan 15.80 mata kepada 8,895.83.

