Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meneruskan penurunan semalam memandangkan indeks utama masih mengalami penyusutan selepas beberapa siri kenaikan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras turun 4.02 mata atau 0.27 peratus kepada 1,514.41 daripada 1,518.43 ketika ditutup pada Isnin.

Barometer pasaran dibuka 4.25 mata lebih rendah kepada 1,514.18.

Secara keseluruhan, lingkungan pasaran sedikit negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 192 berbanding 152 manakala 270 kaunter tidak berubah, 1,511 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 229.05 juta unit bernilai RM113.90 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata selain penguatkuasaan PKPB, penurunan sementara FBM KLCI selepas beberapa siri mencatatkan kenaikan itu juga didorong oleh peningkatan baru-baru ini yang menyaksikan indeks tersebut meningkat 40 mata pada minggu lepas.

“Bagaimanapun, aktiviti dagangan yang rancak akan terus mendorong tumpuan pelabur mengikut pusingan kepada saham-saham berharga rendah, yang memanfaatkan momentum lebih kukuh sejak kebelakangan ini,” menurutnya menerusi nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, Rakuten Trade Sdn Bhd berkata sentimen pasaran dipengaruhi oleh situasi politik semasa dan pandemik COVID-19.

“Justeru, kami menjangkakan indeks akan cenderung berada dalam aliran julat 1,525 hingga 1,530 hari ini,” menurutnya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan menguatkuasakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 12.01 tengah malam 14 Okt hingga 27 Okt.

Beliau berkata bagi Sabah, bahawa seluruh negeri akan menjalani PKPB berkuat kuasa dari 12.01 tengah malam, 13 Okt hingga 26 Okt.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank, Digital dan IOI Corporation masing-masing turun lima sen kepada RM7.30, RM4.08 dan RM4.35 sementara Petronas Chemicals dan Maxis masing-masing susut empat sen kepada RM5.95 dan RM4.99.

Saham aktif termasuk Advance Synergy yang menambah dua sen kepada 22.5 sen, sementara Yong Tai naik satu sen kepada 15 sen, MESB menokok 17.5 sen kepada 52.5 sen, Dataprep meningkat satu sen kepada 21 sen dan Malayan United Industries naik setengah sen kepada 12 sen.

Saham paling rugi, Dutch Lady merosot 38 sen kepada RM38.00, diikuti Petronas Dagangan yang turun 26 sen kepada RM19.24 dan Allianz susut 14 sen kepada RM13.70.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 16.21 mata kepada 10,952.31, Indeks FBMT 100 kurang 19.52 mata kepada 10,767.36 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 12.64 mata kepada 13,093.65.

FBM 70 naik 8.91 mata kepada 14,421.21 dan FBM ACE menokok 1.59 mata kepada 10,581.55.

Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 23.41 mata kepada 12,521.56, Indeks Perladangan turun 28.42 mata kepada 6,973.76 sementara Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.15 mata kepada 142.171.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )