Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka kukuh hari ini berikutan sentimen pasaran secara keseluruhannya menjadi positif, sejajar dengan prestasi bursa serantau.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.12 mata kepada 1,516.50 daripada 1,515.38 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks utama naik 2.21 mata kepada 1,518.50 pada pembukaan.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 241 berbanding 125, manakala 306 kaunter tidak berubah, 1,351 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 342.32 juta saham bernilai RM125.09 juta.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura naik 0.23 peratus kepada 2,516.99, Nikkei Jepun meningkat 0.24 peratus kepada 23,144.93 dan Indeks Komposit Kospi Korea Selatan menambah 0.75 peratus kepada 2,402.02.

Walaupun menjangka bursa tempatan akan mencatat peningkatan semula daripada penurunan baru-baru ini, Rakuten Trade Sdn Bhd mengingatkan bahawa sentimen pada sepanjang hari mungkin terjejas oleh jualan dalam saham permodalan kecil semalam.

“Oleh itu, kami menjangka pelabur akan terus berhati-hati.

“Bagi FBM KLCI, kami percaya ia akan berada dalam julat 1,510-1,520 sekali lagi,” katanya dalam nota hari ini.

Peningkatan dalam kalangan saham wajaran tinggi sebahagian besarnya disokong oleh Sime Darby Plantation yang naik tiga sen kepada RM5.10, manakala Axiata menambah dua sen kepada RM3.05, KLCC meningkat lapan sen kepada RM7.97, Hong Leong Financial menokok 10 sen kepada RM13.94 dan CIMB naik satu sen kepada RM3.25.

Daripada saham cergas, Nova MSC dan Iris, masing-masing meningkat dua sen kepada 13 sen dan 38.5 sen, SYF menokok tiga sen kepada 32.5 sen, DPS menambah 1.5 sen kepada 13 sen manakala Luster susut setengah sen kepada 12 sen.

Kaunter paling untung Comfort Glove meningkat 13 sen kepada RM4.26 manakala kaunter paling rugi Top Glove merosot 16 sen kepada RM8.12.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 2.97 mata kepada 10,950.59, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 2.89 mata kepada 12,957.10 dan FBM ACE menambah 61.98 mata kepada 10,736.0.

Indeks FBMT 100 susut 0.79 mata kepada 10,752.47 dan FBM 70 merosot 7.37 mata kepada 14,285.92.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 5.44 mata kepada 12,660.73, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.21 mata kepada 136.98 dan Indeks Perladangan menokok 19.08 mata kepada 7,108.62.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )