Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia bangkit kembali daripada kerugian semalam untuk dibuka lebih tinggi pagi Rabu, didorong oleh pengumuman beberapa keputusan kewangan korporat pada Selasa yang menyediakan pemangkin positif kepada pasaran.

Pada pukul 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 12.07 mata atau 0.77 peratus kepada 1,577.12 daripada 1,565.05 ketika ditutup pada petang Selasa.

Indeks utama dibuka 5.96 mata lebih kukuh kepada 1,571.01.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 279 berbalas 223 sementara 340 kaunter tidak berubah, 1,356 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 881.52 juta unit bernilai RM245.11 juta.

Rakuten Trade Sdn Bhd berkata meskipun urus niaga bursa tempatan dijangka kekal tidak menentu hari ini, pengumuman keputusan kewangan korporat yang lebih baik boleh menjadi pemangkin kepada pasaran.

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks penanda aras mungkin berlegar antara paras 1,570 dan 1,580 untuk hari ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan ketibaan kumpulan kedua vaksin Pfizer-BioNTech hari ini serta pengagihan vaksin akan terus menarik minat belian terhadap saham bertemakan pemulihan dalam bergerak ke hadapan.

“Juga, peniaga akan memberi fokus kepada sektor berpendapatan tinggi dalam musim pelaporan keputusan kewangan ini,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik 10 sen kepada RM7.99, Public Bank meningkat lima sen kepada RM4.13, Petronas Chemicals dan Tenaga masing-masing bertambah 11 sen kepada RM7.61 dan RM9.97 sementara CIMB enam sen lebih kukuh pada RM4 .25.

Saham paling cergas pula, Metronic Global menokok dua sen kepada 12.5 sen dan warannya naik 2.5 sen kepada 7.5 sen, XOX meningkat 1.5 sen kepada 10.5 sen dan warannya pula bertambah satu sen kepada tiga sen sementara AirAsia X tidak berubah pada 10 sen.

Saham paling untung termasuk Nestle yang melonjak 70 sen kepada RM136.00, Takaful yang meningkat 22 sen kepada RM4.58, KLK naik 18 sen kepada RM23.40, Alcom pula 13.5 sen lebih tinggi kepada 69.5 sen sementara Frontken naik 12 sen kepada RM5.44.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas memperoleh 76.39 mata kepada 11,627.20, Indeks FBMT 100 menokok 71.26 mata kepada 11,300.09 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 64.15 mata pada 13,042.65.

FBM 70 mengukuhkan 39.13 mata kepada 15,468.61 dan FBM ACE meningkat 48.48 mata kepada 11,167.83.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 131.19 mata kepada 14,828.02, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.51 mata kepada 182.09 dan Indeks Perladangan meningkat 22.30 mata kepada 7,165.48.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )