
Bursa Malaysia tinggi pada pagi
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia mencatat peningkatan kecil pada awal dagangan Rabu ketika pelabur memanfaatkan aliran kenaikan semalaman di Wall Street dan pasaran serantau lain, kata peniaga.
Pada 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 0.24 mata kepada 1,542.14 berbanding 1,541.9 pada akhir dagangan semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka meningkat 0.51 mata kepada 1,542.41.
Sentimen pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 162 berbanding 123 manakala 265 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,723 tidak diniagakan dan 16 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 198.84 juta unit bernilai RM63.29 juta.
Dalam pada itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata, bursa tempatan mungkin menyaksikan sentimen positif yang lebih ketara hari ini biarpun peningkatan itu dijangka terhad dan menjejaki sentimen bercampur-campur di Wall Street.
“Selain itu, pelabur mungkin lebih berhati-hati berikutan kemungkinan berlakunya kenaikan kadar faedah pada tahun ini,” kata firma pembrokeran itu dalam nota tinjauannya hari ini.
Bagi pasaran komoditi, Malacca Securities berkata, harga minyak mentah di sekitar AS$80 setong ketika Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu memutuskan untuk meneruskan rancangan menambah pengeluaran minyak pada Februari yang turut meredakan kebimbangan berlaku lebihan dalam suku pertama.
“Kami menjangkakan pengukuhan harga minyak mentah dan minyak sawit mentah (MSM) akan terus memacu saham-saham tenaga dan perladangan berikutan jangkaan peningkatan dalam musim pelaporan akan datang.
“Selain itu, para pelabur juga berkemungkinan besar menumpukan pengeluar plastik berikutan harga jualan purata meningkat akibat kenaikan harga minyak,” katanya.
MSM mencatatkan dagangan lebih kukuh pada paras melebihi RM4,900 satu tan.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut tiga sen kepada RM8.33, IHH Healthcare berkurangan empat sen kepada RM6.78 manakala Public Bank dan Petronas Chemicals tidak berubah masing-masing pada RM4.13 dan RM8.78.
CIMB naik dua sen kepada RM5.44 manakala Tenaga menokok satu sen kepada RM9.19.
Bagi saham aktif, Bintai dan SMTrack masing-masing naik setengah sen kepada 21 sen dan 26 sen manakala Avillion menambah satu sen kepada 11 sen dan IRIS tidak berubah pada 18 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 7.51 mata kepada 11,208.74, Indeks FBM Emas Syariah menokok 0.86 mata kepada 12,055.88 dan FBM ACE menambah 28.5 mata kepada 6,600.81.
Bagaimanapun, FBM 70 turun 10.16 mata kepada 14,293.41 dan Indeks FBMT 100 susut 0.47 mata kepada 10,892.37.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.03 mata kepada 201.98 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 22.91 mata kepada 15,656.78 dan Indeks Perladangan susut 2.76 mata kepada 6,626.16.
-BERNAMA