
Bursa, SZSE papar indeks penanda aras bersama yang terpilih
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia Bhd dan Shenzhen Stock Exchange (SZSE) mula memaparkan konstituen indeks penanda aras bersama yang terpilih di pasaran masing-masing di laman web kedua-dua bursa itu hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Datuk Muhamad Umar Swift berkata hubungan strategik yang terjalin dengan SZSE telah mewujudkan langkah ke hadapan – menawarkan platform dan titik permulaan yang mudah bagi pelabur yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pasaran Malaysia.
Ia turut menyediakan asas yang kukuh untuk pembangunan instrumen baharu bagi produk indeks yang boleh diniagakan, katanya dalam kenyataan hari ini.
“Kami berharap dapat meneruskan hubungan strategik dengan SZSE untuk meningkatkan profil pasaran kami kepada pelabur antarabangsa dan domestik,” katanya.
Laman web Bursa akan memaparkan indeks utama SZSE, iaitu Shenzhen Component Index, Shenzhen 100 Index dan ChiNext Index.
Indeks utama ini akan memberi peluang kepada pelabur untuk mendapat pendedahan kepada syarikat terkemuka dan inovatif daripada industri tradisional dan pesat membangun dalam pasaran China.
Sementara itu, indeks Malaysia yang akan dipaparkan di laman web SZSE ialah CNI-Bursa Malaysia 50 Index, Indeks Penjagaan Kesihatan Bursa Malaysia dan Indeks Teknologi Bursa Malaysia.
Muhamad Umar berkata langkah itu akan dapat meningkatkan kehadiran syarikat senaraian Malaysia kepada pelabur China.
Sektor penjagaan kesihatan dan teknologi antara sektor yang mencatatkan prestasi terbaik di Malaysia pada tahun ini.
Sehingga November 2020, Indeks Penjagaan Kesihatan telah meningkat sebanyak 221 peratus di Bursa Malaysia, manakala Indeks Teknologi naik sebanyak 72 peratus.
Menurut kenyataan itu, CNI-Bursa Malaysia 50 Index — indeks baharu yang dibangunkan bersama oleh Bursa Malaysia dan SZSE — merupakan indeks jenama bersama rentas sempadan pertama yang dipaparkan di SZSE.
Indeks itu akan mengesan prestasi 50 syarikat terbesar yang disenaraikan di Bursa Malaysia, berdasarkan permodalan pasaran berwajaran bebas terapung di bawah metodologi Shenzhen Securities Information Co Ltd.
— BERNAMA