
Casas kembali bimbing Pahang Rangers FC bulan depan
KUANTAN,. Ketua Jurulatih Pahang Rangers FC Gerard Casas yang kini terkandas di Sepanyol akibat pandemik COVID-19, dijangka kembali membimbing pasukan itu bulan depan.
Penolong jurulatih pasukan Ahmad Ridzuan Abdul Halim berkata kehadiran Casas yang berasal dari Barcelona dilihat dapat memberi suntikan semangat kepada Pahang Rangers untuk kembali beraksi setelah berehat panjang selama hampir sembilan bulan.
“Pahang Rangers memerlukan bimbingan beliau bagi memperkasakan skuad yang mungkin telah kehilangan rentak dan stamina memandangkan tiada latihan dibenarkan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain pembatalan kejohanan.
“Kami perlu turun padang segera bagi memulihkan prestasi memandangkan kerajaan sudah membenarkan sukan ini kembali berlangsung dan kehadiran Casas amat membantu kerana keserasian beliau bersama pemain,” katanya di sini, hari ini.
Ahmad Ridzuan berkata beliau difahamkan Casas akan menjalani kurantin wajib selama 14 hari sebaik tiba di Malaysia sebelum bertemu dengan pengurusan dan pasukan Pahang Rangers FC untuk tindakan selanjutnya.
Beliau juga menyifatkan cabaran utama yang perlu dihadapi apabila Pahang Rangers memulakan latihan ialah faktor kecergasan dan gaya permainan, dan masalah sama mungkin dihadapi semua pasukan lain kerana faktor kurang latihan.
— BERNAMA