
Chegu Bard mengaku tidak bersalah didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan dan fitnah
KUALA LUMPUR,. Anggota Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menghasut kebencian dan mengeluarkan kata-kata fitnah yang akan mencemarkan nama baik Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, Raja Malaysia.
Bagaimanapun, Badrul Hisham, 45, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Mengikut pertuduhan pertama, Badrul Hisham didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan di laman Facebooknya di Taman Bukit Cheras di sini, pada 12.15 tengah hari, 6 April lalu.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah undang-undang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Badrul Hisham juga didakwa membuat kenyataan berbaur fitnah di mana beliau mempunyai sebab untuk mempercayai kenyataan itu akan mencemarkan nama baik Raja.
–Agensi