
COVID-19: K’jaan P.Pinang tidak tutup kawasan rekreasi zon kuning
GEORGE TOWN,. Kerajaan Pulau Pinang tidak berhasrat untuk menutup semua kawasan rekreasi awam di daerah Seberang Perai Tengah yang diklasifikasi sebagai zon kuning berikutan kemunculan empat kes baharu COVID-19 yang dilaporkan tiga hari lepas.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata sebaliknya, kerajaan melalui Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah mengumumkan pelaksanaan Pelan Tindakan Serta-Merta dalam usaha untuk membendung penularan wabak COVID-19.
“Bagi keempat-empat kes baharu itu, ia bukan penularan di Pulau Pinang tetapi dibawa dari negeri jiran iaitu Kedah dan Perak. Kami telah kenal pasti 37 kontak rapat yang berkaitan dengan kluster Kurau dan Sivagangga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya setakat ini keadaan di Pulau Pinang masih terkawal dan tiada sebarang kes baharu akibat penularan penduduk negeri ini dilaporkan.
Setakat 10 Ogos, MBSP telah menutup 13 premis makanan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) manakala 43 notis telah dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang kepada penjaja awam pada 1 Ogos kerana gagal pakai pelitup muka.
Sementara itu, Chow berkata kadar penginapan hotel-hotel di Pulau Pinang sedang menunjukkan petanda positif berikutan kebenaran pergerakan rentas negeri oleh kerajaan.
Katanya kebanyakkan hotel di Pulau Pinang mencatatkan rekod penginapan sehingga 90 peratus, khususnya ketika hujung minggu.
“Ini petanda yang baik untuk sektor pelancongan negeri kerana Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang memulakan inisiatif sistem akreditasi pelancongan bagi memastikan garis panduan serta langkah-langkah keselamatan yang sesuai diambil para penggiat industri,” katanya.
Katanya sejak dilancarkan pada 8 Julai lepas, 50 penggiat industri pelancongan yang terdiri daripada 38 hotel, tujuh lokasi tarikan dan lima pusat membeli belah membuat permohonan.
“Ini adalah sebagai langkah dalam memastikan kesiapsiagaan kepatuhan normal baharu serentak dengan pembukaan semula industri berkenaan kepada pelancong tempatan,” katanya.
— BERNAMA