Bursa dibuka lebih tinggi pada pagi

Bursa dibuka lebih tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pagi ini, mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street yang memberangsangkan disebabkan oleh data Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Amerika Syarikat (AS) yang dilhat lebih memihak kepada pertumbuhan ekonomi.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengembang 2.53 mata kepada 1,436.75 daripada penutup semalam pada 1,434.22.

Indeks utama dibuka pada paras 1,434.84, meningkat 0.62 mata.

Pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 167 berbalas 92, manakala 233 kaunter tidak berubah, 1,773 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 222.99 juta unit bernilai RM77.74 juta.

Data PPI AS merosot kepada 2.7 peratus tahun ke tahun pada bulan Mac berbanding 4.9 peratus pada Februari, bacaan terendah sejak Januari 2021.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata Wall Street meningkat apabila peniaga menyambut baik data PPI terkini yang lebih rendah daripada jangkaan, sekali gus menunjukkan inflasi di AS mungkin semakin reda.

“Kami berpendapat pasaran serantau akan lebih menonjol hari ini, begitu juga dengan bursa tempatan dan indeks diunjur berlegar dalam julat 1,435 hingga 1,445 hari ini, dengan minat belian kembali ke kaunter berkaitan teknologi,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing menokok satu sen untuk mencatatkan harga RM8.72 dan RM9.16, Petronas Chemicals mengukuh lapan sen kepada RM7.48 dan CIMB naik dua sen kepada RM5.22 manakala Public Bank tidak berubah pada RM3.99.

Bagi saham aktif pula, Hong Seng, CSH Alliance dan Niche Capital Emas, kesemuanya meningkat lima sen kepada 13.5 sen, lima sen dan 17 sen, My EG memperoleh 1.5 sen kepada 89 sen manakala Wellspire susut setengah sen menjadi 37 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang 19.10 mata kepada 10,590.52, Indeks FBMT 100 menambah 17.73 mata kepada 10,269.39 manakala Indeks FBM Emas Syariah memperoleh 25.92 mata kepada 10,966.20.

Indeks ACE FBM pula mengukuh 49.60 mata menjadi 5,418.79 dan indeks FBM 70 meraih 22.43 mata kepada 13,946.27.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.81 mata kepada 176.30, Indeks Perladangan menambah 7.26 mata kepada 6,884.60 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 21.22 mata menjadi 15,766.06 dan Indeks Tenaga berkurangan 24.6 mata untuk mencatatkan paras 886.08.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)