COVID-19: Masih ada individu berdegil jalani ujian kedua – Ismail Sabri

COVID-19: Masih ada individu berdegil jalani ujian kedua – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 19 Julai — Masih ada lagi individu yang berdegil untuk menjalani ujian saringan kedua COVID-19 pada hari ke-13 kuarantin di rumah, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sehubungan itu, pihaknya menyeru individu terbabit supaya segera menjalani ujian tersebut sebagai langkah membendung penularan COVID-19 di negara ini.

“Yang masih berdegil untuk menjalani ujian kedua kita mohon pergi ke Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan atau hubungi KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk bantuan bagi menjalani ujian saringan itu.

“Jika tidak, polis akan ambil tindakan, ini kerana ujian kedua tidak 100 peratus negatif, ada yang positif (selepas menjalani saringan kedua) walaupun peratusannya kecil… walaupun kecil, ia tetap bahaya,” katanya ketika menyaksikan mural gergasi potret beliau yang dihasilkan sekumpulan pelukis di dinding sebuah premis rumah kedai di Seksyen U12 di sini hari ini.

Ismail Sabri turut mengingatkan individu yang pulang dari luar negara supaya tidak ingkar arahan menjalani kuarantin di rumah.

Beliau berkata KKM dan polis akan melakukan pemantauan secara mengejut bagi memastikan individu terbabit kekal berada di rumah dalam tempoh yang ditetapkan.

“Setiap individu yang dikuarantin kita telah beri mereka ini gelang tangan yang sepatutnya mereka pakai, kalau mereka keluar dengan memakai gelang, mereka melakukan kesalahan dan telah langgar SOP (prosedur operasi standard).

“Tetapi dengan perundangan dan SOP semata-mata tidak akan menjadi kalau tiada disiplin dan kesedaran diri sendiri untuk kawal wabak tersebut (daripada berjangkit),“ katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, berkata parti tersebut berhasrat mempertahankan kerusi ‘tradisinya.’

Beliau berkata kerusi itu perlu ditandingi UMNO berdasarkan rekod kemenangan parti tersebut dalam pilihan raya sebelum ini. “Bagi saya ia wajar ditandingi UMNO, UMNO telah beberapa kali menang dan tiada sebab kita nak serah pada orang (parti) lain.

“Kita akan bertanding dan untuk calon, presiden (parti) akan umumkan sebab kita belum bincang,” katanya. Khamis lepas, Speaker DUN Perak Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid mengesahkan telah menerima notis kekosongan kerusi DUN Slim susulan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Mohd Khusairi, 59, disahkan meninggal dunia pada 4.15 petang di Hospital Bentong Rabu lepas akibat serangan jantung.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )