COVID-19: Sepanyol lanjut perintah berkurung hingga 9 Mei

COVID-19: Sepanyol lanjut perintah berkurung hingga 9 Mei

MADRID,. Sepanyol melanjutkan tempoh berkurung dua minggu lagi sehingga 9 Mei depan, berikutan kematian akibat pandemik COVID-19 di negara itu sudah melepasi 20,000.

Perdana Menterinya, Pedro Sanchez, mengumumkan perlanjutan itu semalam, susulan angka rasmi wabak melepasi 20,000.

“Kita sudah melakukan pelbagai langkah paling sukar atas tanggungjawab dan disiplin sosial. Namun, belum menampakkan hasil nyata.

“Kami juga melalui tempoh paling sukar. Namun rakyat diminta supaya patuh dan tidak mensia-siakan keputusan yang dibuat,” katanya.

Katanya, perintah berkurung ketika ini terus dilaksanakan tetapi ada kelonggaran mulai 27 April ini dengan membenarkan kanak-kanak keluar dari rumah.

“Ketika ini hanya seseorang yang dewasa dibenarkan meninggalkan rumah atas sebab spesifik seperti keluar bekerja, membeli makanan dan ubat-ubatan, temu janji doktor atau urusan kerja.

“Bagaimanapun, larangan itu dilonggarkan berikutan banyak permintaan untuk membenarkan anak keluar. Perkara itu dibenarkan di kebanyakan negara lain yang turut melaksanakan perintah berkurung,” katanya.

Sepanyol yang melaksanakan langkah itu sejak 14 Mac lalu merekodkan 20,043 kematian akibat virus, menurut perangkaan terkini Kementerian Kesihatannya.

Sepanyol negara ketiga mencatatkan kematian tertinggi selepas Amerika Syarikat dan Itali.

Pegawai kesihatannya berkata, Sepanyol sudah melepasi kemuncak wabak COVID-19 yang mengorbankan hingga 950 orang sehari pada 2 April lalu dan kini hospital mencatatkan bilangan yang semakin rendah.

Peningkatan kes menjadi perlahan dan jumlah kematian harian terkini seramai 565 orang, turun dari angka pada hari Jumaat.

Sementara bilangan pesakit pulih meningkat kepada hampir 75,000 orang.

Bagaimanapun dengan hampir 200,000 kes yang dilaporkan, Sanchez memberi amaran kepada negaranya bahawa perintah berkurung lebih ketat dan progresif perlu bagi mengekang wabak supaya Sepanyol tidak menjadi negara terburuk di Eropah.

“Jika perlu, kami akan memperkuat semula langkah perlindungan,” katanya. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )