
CTI saran APEC wujudkan rantau lebih berdaya tahan bagi menangani pandemik
KUALA LUMPUR,. Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) perlu mewujudkan rantau APEC yang lebih berdaya tahan dan mampu menangani pandemik COVID-19, mempercepatkan pemulihan ekonomi dan lebih bersedia menghadapi situasi kecemasan pada masa akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa mengenai Perdagangan dan Pelaburan (CTI), Krasna Bobenrieth berkata perniagaan seperti biasa mungkin tidak lagi wujud, justeru, kemampuan anggota untuk menyesuai dan bekerja ke arah kepentingan bersama, bertukar-tukar amalan terbaik dan bekerjasama mencari penyelesaian ke atas cabaran baharu adalah penting.
CTI adalah kumpulan APEC yang terbesar dan sering berada di barisan hadapan forum untuk mencapai perdagangan dan pelaburan yang bebas dan terbuka.
“Ketika COVID-19 mula mendapat perhatian pada awal 2020, tiada siapa dapat menjangka impak meluasnya kepada kesihatan, ekonomi dan sosial.
“Walaupun dunia pernah mengalami pandemik dahsyat sebelum ini, sukar untuk mengingat yang memberi akibat begitu besar dalam kehidupan, masyarakat dan ekonomi kita, dan menjejaskan banyak negara di dunia dalam masa yang singkat,” kata Bobenrieth menerusi catatan dalam blog hari ini.
Beliau berkata rantau ini pernah berdepan cabaran perdagangan dengan nilai eksport dan import APEC menguncup dua hingga tiga peratus pada 2019, malah sebelum COVID-19 berada di fikiran sesiapa.
Ketegangan berkaitan perdagangan dan teknologi telah banyak mempengaruhi dinamisme perdagangan di rantau ini dan tidak akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi bagi pasca pandemik, katanya.
Bobenrieth berkata perdagangan dan pelaburan yang merupakan komponen utama kepada pertumbuhan ekonomi telah terjejas teruk ketika berlakunya pandemik itu.
Pertubuhan Perdagangan Dunia menekankan bahawa perdagangan dunia dijangka merosot antara 13 peratus dan 32 peratus di seluruh sektor ekonomi pada 2020.
Ketika ini, beliau berkata jawatankuasa dan kumpulan APEC sedang berusaha mengenal pasti dan mengatasi pelbagai masalah yang timbul akibat COVID-19, tidak terkecuali CTI.
CTI merupakan instrumen utama bagi memajukan tugas APEC dalam liberalisasi perdagangan dan pelaburan dan ketika ini mempunyai lebih 40 inisiatif, merangkumi topik seperti sokongan kepada sistem perdagangan multilateral, integrasi ekonomi serantau, kemudahan perdagangan dan kesalinghubungan dan pendekatan inklusif bagi dagangan dan pelaburan.
Ia turut mempunyai tanggungjawab dan peranan penting untuk bersama-sama memerangi pelbagai kesan akibat pandemik ini, katanya.
— BERNAMA