SINGAPURA,. Platform data dan kecerdasan buatan (AI) Databricks mengumumkan pelaburan US$350 juta (US$1=RM4.05) di Singapura dalam tempoh tiga tahun a
SINGAPURA,. Platform data dan kecerdasan buatan (AI) Databricks mengumumkan pelaburan US$350 juta (US$1=RM4.05) di Singapura dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi mempercepat pembangunan AI.
Dalam kenyataan pada Rabu, syarikat itu memaklumkan ia juga akan memperbesar saiz pejabatnya di Singapura sebanyak empat kali ganda menerusi ibu pejabat baharu seluas 32,000 kaki persegi serta menggandakan tenaga kerja tempatan kepada lebih 500 orang.
“Pelaburan itu mengukuhkan peranan Singapura sebagai hab serantau Databricks bagi Asia Pasifik dan Jepun serta menyokong aspirasi Strategi AI Nasional negara itu.
“Ini membolehkan Databricks bekerjasama lebih rapat dengan pelanggan, rakan kongsi dan agensi kerajaan ketika organisasi beralih daripada peringkat percubaan AI kepada pelaksanaan sistem AI terkawal secara berskala,” menurut syarikat itu.
Selain itu, Databricks mengumumkan program AI baharu untuk syarikat pemula dan perusahaan, di samping inisiatif melatih 20,000 individu di Singapura dalam kemahiran data dan AI sepanjang tiga tahun akan datang.
Menerusi inisiatif yang disokong Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura (EDB) dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) itu, Databricks akan menangani cabaran dalam membangunkan tenaga kerja yang bersedia untuk AI, membantu syarikat pemula membina perniagaan berteraskan AI serta membolehkan lebih banyak perusahaan beralih daripada percubaan kepada penggunaan AI dalam operasi sebenar.
Walaupun perbelanjaan AI di rantau ini terus meningkat, lebih separuh syarikat di Asia Tenggara masih berada pada peringkat percubaan berikutan infrastruktur data yang berpecah-pecah dan kekurangan tenaga mahir, menurut syarikat itu.
Naib Presiden Kanan dan Pengurus Besar Databricks bagi Asia Pasifik dan Jepun Simon Davies berkata Singapura, sebagai ibu pejabat serantau syarikat itu, akan memainkan peranan utama dalam usaha Databricks mengembangkan operasinya di seluruh rantau ini.
“Ini bermakna pelaburan perlu dibuat merangkumi keseluruhan ekosistem, iaitu membantu syarikat pemula menerapkan AI sejak awal penubuhan, membolehkan perusahaan melaksanakan penggunaan AI paling penting dalam operasi sebenar serta membangunkan keupayaan tenaga kerja yang diperlukan untuk memperluas penggunaan AI secara bertanggungjawab.
“Atas sebab itu, kami percaya Singapura merupakan antara pasaran utama dunia bagi AI perusahaan, bukan sekadar tempat kami beroperasi tetapi juga lokasi kami membina asas untuk jangka panjang,” katanya.
— BERNAMA

