
Derek terap rasa sayang terhadap Sarawak menerusi hasil karyanya
KUCHING: Derek Siu seorang artis yang kehilangan pendengaran kongenital menunjukkan rasa sayangnya pada Sarawak menerusi semua hasil seni ciptaannya.
Demikian kata ibu tersayang Derek, Nelly Lim ketika ditemui Utusan Borneo hari ini di Raya Street Market at The Podium yang sedang berlangsung sehingga esok, 9 Mac 2025.
“Dia sudah melukis sejak lebih 10 tahun yang lalu, sejurus selepas tamat pengajian di dalam reka bentuk grafik dan animasi di Institut Teknologi Kreatif Limkokwing.
“Semua hasil seninya dijual dari RM6 hingga lebih daripada RM2,000,” katanya kepada pemberita.
Bagi mendapatkan idea yang baik, sudah menjadi rutin Nelly untuk membawa Derek, 37, tahun untuk bersiar-siar sekurang-kurangnya sekali sebulan.
Derek malah menunjukkan hasil unik miliknya iaitu lukisan sebuah peta Sarawak yang ditata di atas kulit kayu yang biasa digunakan oleh suku kaum Dayak untuk membuat baju tradisional kaum lelaki.
Beliau juga katanya, menggunakan akrilik di atas media kanvas, karya seni terutamanya menampilkan kepelbagaian budaya Sarawak.
Sebagai peminat tegar anime dan permainan video Jepun, Derek sentiasa berlatih dan mencari penambahbaikan pada seni digital dan juga merupakan ahli Persatuan Seniman Sarawak.
Tetapi Derek turut menerima tempahan untuk melukis hasil seni yang dimahukan pelanggannya yang mana boleh dihubungi menerusi laman Instagram @DEREK.ARTWORk atau @SHIU3HU_ARTWORK.
Jualan terlaris Derek setakat ini adalah seni digital selain pembuatan seni tanah liat, cetakan 3D, hiasan batu, bingkai gambar mini, rantai kunci dan banyak lagi.
Apabila ditanya mengenai rancangan masa depan, ibunya berkongsi, “Kami menggalakkan dia untuk terus berkembang sebagai seorang artis. Buat masa ini, kami mengambil langkah demi langkah dan melihat bagaimana seterusnya.”
-Agensi