KUALA LUMPUR,. Anak syarikat Destini Bhd, M Rail Technics Sdn Bhd (Railtec) yang dimiliki sebanyak 70 peratus, memeterai memorandum persefahaman (MoU)
KUALA LUMPUR,. Anak syarikat Destini Bhd, M Rail Technics Sdn Bhd (Railtec) yang dimiliki sebanyak 70 peratus, memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Siemens Mobility Sdn Bhd bagi memperkukuh keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) digital sektor kereta api di Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan industri terpelbagai itu memaklumkan kerjasama berkenaan memberi tumpuan kepada penubuhan pusat kawalan kebolehpercayaan bagi menyokong aktiviti MRO berasaskan data.
“Kerjasama strategik dengan Siemens Mobility ini menandakan satu pencapaian penting dalam komitmen kami untuk meningkatkan keupayaan MRO kereta api Malaysia.
“Dengan menggabungkan teknologi bertaraf dunia dan kepakaran digital Siemens dengan pengalaman operasi tempatan Railtec, kami meletakkan Railtec dalam kedudukan untuk menerajui peralihan kepada penyelesaian penyelenggaraan pintar berasaskan data,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Destini, Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Beliau berkata, kerjasama itu bukan sahaja memperkukuh keupayaan syarikat dalam menyokong aset rel negara, malah turut menggalakkan pembangunan bakat tempatan dan daya tahan teknikal, selaras dengan matlamat lebih luas Malaysia dalam pembangunan industri serta infrastruktur pengangkutan.
Di bawah perjanjian tidak mengikat selama dua tahun itu, Railtec dan Siemens Mobility akan meneroka beberapa inisiatif strategik utama, termasuk pendigitalan aktiviti MRO kereta api, pembangunan kompetensi tenaga kerja dalam bidang MRO kereta api serta sokongan teknikal.
–BERNAMA

