KUALA LUMPUR,. Polis menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes pergaduhan di Jalan Telawi, Bangsar di sini, awal pagi semalam, yang video
KUALA LUMPUR,. Polis menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes pergaduhan di Jalan Telawi, Bangsar di sini, awal pagi semalam, yang video kejadian tular di platform Threads.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Supt Ahmad Firdaus Mustaffa Kamal berkata kedua-dua suspek berusia 34 dan 21 tahun itu ditahan di sekitar Bandar Baru Salak Tinggi pada hari kejadian, dengan suspek berusia 34 tahun mempunyai lapan rekod jenayah lampau.
Beliau berkata siasatan awal berhubung kejadian kira-kira 2 pagi itu mendapati ia melibatkan dua kumpulan individu yang mencetuskan kekecohan di lokasi kejadian.
“Kedua-dua suspek kini disiasat bagi mengenal pasti punca kejadian serta penglibatan individu lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh dengan senjata atau objek yang boleh digunakan sebagai senjata, yang boleh menyebabkan kematian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
— BERNAMA

