KUALA LUMPUR,. Kejayaan anak seni Malaysia meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa membuktikan industri kreatif negara mempunyai potensi besar
KUALA LUMPUR,. Kejayaan anak seni Malaysia meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa membuktikan industri kreatif negara mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai sektor strategik yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Penolong Setiausaha Putera MIC Kebangsaan Purvin Ravichandran berkata pencapaian Nandagopall Mohan sebagai rakyat Malaysia pertama memenangi kategori Best New Performer pada 63rd Golden Horse Awards 2026 di Taiwan, serta pengiktirafan kepada Kartik Vijay bagi kategori Best Cinematography, merupakan kejayaan membanggakan.
“Kita juga wajar berbangga dengan pencapaian anak seni berketurunan India dalam Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35). Ini membuktikan bahawa bakat anak Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang mampu bersaing serta membawa nama negara ke peringkat lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut merakamkan tahniah kepada semua pemenang FFM35 serta anak seni negara yang mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Purvin berkata kejayaan berkenaan perlu dijadikan inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi industri kreatif yang bukan sekadar bidang hiburan, sebaliknya perlu mengiktiraf industri itu sebagai industri strategik yang mampu menjana ekonomi, membuka peluang pekerjaan dan melahirkan usahawan tempatan.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap peranan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) terus diperkasakan menerusi sokongan pembiayaan, pembangunan bakat, latihan profesional serta peluang kepada penggiat industri baharu menghasilkan karya berkualiti dan menembusi pasaran antarabangsa.
Katanya, penggiat seni perlu diberikan ruang, kepercayaan dan sokongan menerusi ekosistem industri yang kukuh bagi membolehkan bakat tempatan terus berkembang.
“Sudah tiba masanya industri kreatif diberikan kedudukan sewajarnya dalam agenda pembangunan ekonomi negara. Jangan sekadar berbangga dengan kejayaan anak seni kita, tetapi bersama-sama membina masa depan industri yang mampu melahirkan lebih ramai bakat bertaraf dunia,” katanya.
— BERNAMA

