SINGAPURA,. Ekonomi Singapura diunjurkan menyederhana kepada 4.8 peratus pada 2026 daripada 5.0 peratus tahun lepas, didorong oleh kitaran peningkatan
SINGAPURA,. Ekonomi Singapura diunjurkan menyederhana kepada 4.8 peratus pada 2026 daripada 5.0 peratus tahun lepas, didorong oleh kitaran peningkatan sektor elektronik yang diterajui kecerdasan buatan (AI), menurut Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO).
Ketua Ahli Ekonomi dan Ketua Misi AMRO Runchana Pongsaparn berkata eksport dan pelaburan negara itu terus menerima manfaat daripada permintaan global yang kukuh terhadap produk berkaitan AI.
Bagaimanapun, beliau berkata harga minyak global yang tinggi dan permintaan global yang perlahan susulan konflik di Asia Barat dijangka menjejaskan pertumbuhan.
“Oleh itu, kami mengunjurkan pertumbuhan sederhana sedikit.
“Bagaimanapun, kami mungkin menyemak semula unjuran kami selepas angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga dikeluarkan dalam tempoh beberapa minggu lagi,” katanya pada taklimat media mengenai Laporan Rundingan Tahunan AMRO 2026 bagi Singapura pada Rabu.
Pongsaparn berkata inflasi tahunan republik itu dijangka meningkat daripada 0.9 peratus pada 2025 kepada 2.1 peratus tahun ini, didorong oleh kenaikan harga tenaga dan komoditi global akibat konflik di Asia Barat, dengan kesan kenaikan harga yang seterusnya dijangka berlaku apabila tarif elektrik diselaraskan bagi tempoh yang masih berbaki tahun ini.
“Tekanan inflasi asas secara umumnya masih terkawal, disokong oleh dolar Singapura yang kukuh dan subsidi bersasar manakala risiko jangka pendek secara umumnya adalah seimbang,” katanya.
Pada masa akan datang, beliau berkata peningkatan semula konflik di Asia Barat kekal sebagai risiko utama yang boleh menyebabkan pertumbuhan ekonomi negara itu menurun daripada unjuran yang ditetapkan.
Selain itu, permintaan AI yang dijangka lebih rendah berbanding jangkaan serta sekatan perdagangan Amerika Syarikat yang berlarutan dan masih menyebabkan ketidaktentuan, turut memberikan kesan negatif.
“Bagaimanapun, pada masa sama, kami juga mungkin melihat rangsangan positif daripada permintaan terhadap AI yang lebih baik daripada jangkaan dan faktor-faktor lain.
“Dalam jangka panjang, cabaran struktur seperti perpecahan geoekonomi, penuaan penduduk, tekanan terhadap kelestarian tenaga dan penggunaan AI yang tidak sekata — boleh menjejaskan pertumbuhan berpotensi dan daya saing, sekali gus menunjukkan keperluan untuk mempercepat pembaharuan struktur,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi AMRO Dong He berkata Singapura berada pada kedudukan yang baik untuk memajukan integrasi serantau menerusi peranannya sebagai Pengerusi ASEAN pada 2027.
“Rangka kerja kawal selia yang kukuh dan inovasi kewangan mengukuhkan peranannya sebagai hab kewangan serantau.
“Singapura juga boleh memainkan tanggungjawab sebagai pemangkin dalam memperkukuh keselamatan tenaga ASEAN,” katanya.
— BERNAMA

