INDONESIA PERHEBAT PEMADAMAN API, TITIK PANAS MELONJAK KE 893

HomeFeaturedBerita Semasa

INDONESIA PERHEBAT PEMADAMAN API, TITIK PANAS MELONJAK KE 893

JAKARTA,. Indonesia memperhebat usaha memerangi kebakaran hutan dan tanah apabila bilangan titik panas berkeyakinan tinggi di seluruh negara meningkat

Integriti bukan pilihan tetapi kewajipan dalam memperkukuh agenda kelestarian negara
Kertas cadangan penyasaran subsidi gula sedang disediakan – Fuziah
Cuaca panas, kurang hujan di kebanyakan tempat sehingga 25 Jan – MetMalaysia

JAKARTA,. Indonesia memperhebat usaha memerangi kebakaran hutan dan tanah apabila bilangan titik panas berkeyakinan tinggi di seluruh negara meningkat lebih dua kali ganda kepada 893, dengan 61 pesawat dikerahkan untuk pengeboman air, rondaan dan operasi pengubahsuaian cuaca.

Menurut Kementerian Perhutanan, armada udara itu terdiri daripada 44 pesawat untuk pengeboman air dan 17 untuk operasi rondaan dan pengubahsuaian cuaca, melengkapkan usaha memadam kebakaran di darat.

Berdasarkan sistem pemantauannya, kementerian berkata 893 titik panas berkeyakinan tinggi dikesan di seluruh negara setakat 9.10 malam Selasa, melonjak daripada 365 sehari sebelumnya, dengan peningkatan ketara di Sumatera Selatan dan Kalimantan Tengah.

Sumatera Selatan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 266 titik panas, diikuti Kalimantan Tengah sebanyak 132, Jambi (75), Kalimantan Barat (30) dan Kalimantan Selatan (28) manakala tiada titik panas dikesan di Riau.

Kementerian itu menyatakan beberapa titik panas boleh dikaitkan dengan satu kebakaran.

“Perkembangan ini mendapat perhatian dan semua petunjuk terus disusuli melalui pemantauan dan semakan terus di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan video pada Rabu.

Sementara itu, dalam isu berlainan, kementerian memaklumkan sebanyak 254 haiwan liar yang terjejas akibat bencana alam, seperti orang utan Borneo, monyet proboscis, tenggiling dan beruang matahari, telah diselamatkan, menerima rawatan, menjalani pemulihan atau ditempatkan semula di habitat yang lebih selamat.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pertahanan Sjafrie Sjamsoeddin pada Rabu menganugerahkan pingat perkhidmatan Satyalancana Dharma Samudera Indonesia kepada 361 kakitangan Jepun sebagai mengiktiraf bantuan mereka terhadap kebakaran hutan dan tanah negara itu.

Jepun menamatkan bantuan memadam kebakarannya di Kalimantan pada Selasa selepas mengerahkan kapal Pasukan Pertahanan Diri Maritim Jepun JS Kunisaki dan tiga helikopter CH-47 Chinook untuk membantu operasi yang diselaraskan dengan agensi pengurusan bencana dan tentera Indonesia.

— BERNAMA