FIMI beri impak ekonomi RM2.53 bilion sejak 2013

FIMI beri impak ekonomi RM2.53 bilion sejak 2013

KUALA LUMPUR ,. Inisiatif Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) memberi impak ekonomi secara langsung sebanyak RM2.53 bilion melalui aktiviti berkaitan perfileman sejak mula dilaksanakan pada 2013.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata impak tersebut meliputi peningkatan gaji kru dan pelakon yang terlibat dalam produksi, sewaan studio serta peralatan produksi.

Beliau berkata FIMI juga membantu menjana ekonomi setempat sebanyak RM8.68 bilion sepanjang tempoh itu kerana sekiranya berlangsung penggambaran, ia turut merangsang aktiviti pelancongan, perhotelan, pengangkutan, perkhidmatan sajian makanan, perkhidmatan perundangan dan lain-lain faedah di kawasan terlibat.

“Ini satu perkara yang bagus dan kementerian akan berusaha mendapatkan dana tambahan bagi program FIMI bagi tahun-tahun akan datang,” katanya pada sidang media di Parlimen selepas selesai menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat dasar bagi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) semalam.

Fahmi berkata inisiatif FIMI dilaksanakan sebagai usaha KKD menyokong hab pusat penggambaran dengan menawarkan 30 peratus rebat tunai berdasarkan Kos Produksi di Malaysia (QMPE) kepada produksi filem dan televisyen dalam dan luar negara yang menjalankan penggambaran di negara ini.

Beliau berkata tambahan maksimum lima peratus rebat juga diberikan sekiranya produksi tersebut turut memaparkan elemen seni dan kebudayaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )