Gabenor New York terima 25,000 aduan langgar arahan perintah berkurung

Gabenor New York terima 25,000 aduan langgar arahan perintah berkurung

NEW YORK,. Gabenor New York mengancam untuk menarik semula perintah berkurung, selepas sekumpulan besar individu berhimpun di luar sebuah bar di New York City, sekali gus melanggar peraturan ditetapkan.

Menurut Andrew Cuomo, pejabatnya menerima 25,000 aduan berhubung perlanggaran peraturan perniagaan, apabila orang ramai berpusu-pusu menikmati hujung minggu tanpa menghiraukan larangan memutuskan rantaian COVID-19.

“Terlalu banyak perlanggaran peraturan membabitkan penjarakan sosial, parti di jalanan, restoran dan bar yang tidak menghiraukan peraturan.

“Kuat kuasakan undang-undang atau tindakan tegas akan diambil,” katanya menerusi Twitter, sambil memberi amaran kepada pihak berkuasa.

Kota New York, pusat penyebaran COVID-19 di Amerika Syarikat (AS), berada dalam fasa pertama pembukaan semula jika mengikut perancangan empat peringkat oleh Cuomo.

Restoran dan bar dibenarkan untuk menyediakan khidmat tempahan makanan, namun dilarang untuk menawarkan tempat duduk di luar sehingga fasa kedua, yang dijangka dilaksanakan lewat bulan ini.

Di bawah peraturan penjarakan sosial, orang ramai hanya dibenarkan berhimpun dalam jumlah tidak melebihi 10 pada satu satu masa.

Larangan terbabit turut mencakupi meminum alkohol di kawasan terbuka di New York. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This