
Gangguan bekalan air di KL dan Selangor dijangka pulih mulai 12 tengah hari ini
KUALA LUMPUR,. Gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor dijangka pulih secara berperingkat bermula 12 tengah hari ini.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan gangguan bekalan air tidak berjadual tersebut berlaku susulan Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti operasi pada jam 11 malam tadi ekoran pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di sungai itu.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, kesemua loji tersebut telah kembali beroperasi pada jam 6.30 pagi ini.
“Tindakan pantas melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam alternatif (OPAK) di Bestari Jaya telah mempercepatkan aliran air yang tercemar ke hilir Sungai Selangor sehingga tiada lagi pencemaran bau dikesan pada muka sauk keempat-empat LRA tersebut.
“Walau bagaimanapun, gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka berlaku di beberapa kawasan melibatkan tujuh wilayah iaitu di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat berikutan penurunan paras air di kolam-kolam utama di kawasan tersebut dan bekalan air dijangka pulih mulai 12 tengah hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, pengguna dinasihatkan menggunakan air secara berhemat dalam tempoh ini.
Menurut kenyataan itu, Air Selangor akan menyalurkan maklumat kawasan gangguan bekalan kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.
Pengguna juga digalakkan untuk muat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air.
–BERNAMA