
Guan Eng mengaku tidak bersalah dakwaan salah guna kuasa
BUTTERWORTH,. Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan RM372,000 bagi membolehkan sebuah syarikat ditawarkan projek.
Dia membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Mengikut pertuduhan, Guan Eng, 60, sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Penang Development Corporation (PDC), telah didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM372,000 bagi isterinya iaitu Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.
Ia bagi memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan Sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang yang bernilai RM11,610,000.00 di mana isterinya tidak mempunyai kepentingan.
Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di antara19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016 di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.
Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM , Ahmad Akram Gharib, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar, Francine Cheryl Rajendram dan Roslan Mat Nor.
Manakala Guan Eng diwakili barisan peguam Gobind Sing Deo, Ramkarpal Singh, RSN Rayer dan V. Vemal Arasan.
Mahkamah membenarkan beliau diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin.
Kes disebut semula di mahkamah sama pada 16 Oktober depan.