ISTANBBUL,. Hamas pada Isnin menuduh Lembaga Keamanan (Board of Peace) memberikan gambaran yang mengelirukan mengenai krisis banjir di Gaza serta meng
ISTANBBUL,. Hamas pada Isnin menuduh Lembaga Keamanan (Board of Peace) memberikan gambaran yang mengelirukan mengenai krisis banjir di Gaza serta mengabaikan peranan Israel dalam menghalang pelaksanaan pelan damai yang disokong Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menjawab kenyataan lembaga itu berhubung banjir berkenaan, kumpulan Palestin itu menolak dakwaan bahawa pihaknya bertanggungjawab terhadap kelewatan pelaksanaan pelan tindakan damai, sambil menegaskan bahawa Hamas dan kumpulan Palestin lain telah pun menerima pelan berkenaan.
Terdahulu pada Isnin, Lembaga Keamanan mengkritik kelewatan Israel membenarkan kemasukan bekalan penting yang menurutnya telah memburukkan lagi krisis kemanusiaan.
Lembaga itu turut menggesa Hamas memenuhi komitmennya, termasuk meletakkan senjata dan menyerahkan kuasa pentadbiran.
Hamas mengakui kritikan lembaga itu terhadap Israel, namun menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai tidak mengambil kira tanggungjawab Israel secara keseluruhan dalam menghalang pelaksanaan pelan damai Presiden Donald Trump.
Kumpulan itu merujuk kenyataan pada 3 Ogos oleh tiga negara pengantara iaitu Mesir, Qatar dan Türkiye, yang memberi amaran bahawa pelanggaran oleh Israel telah menjejaskan fasa kedua pelan berkenaan.
Hamas berkata tindakan menjadikan bantuan penting untuk menyelamatkan nyawa sebagai alat tekanan politik melanggar kewajipan kemanusiaan dan undang-undang, ketika bekalan tempat perlindungan masih tertahan di luar Gaza sedangkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal berdepan banjir dan cuaca sejuk.
Kumpulan itu menggesa Lembaga Keamanan menjelaskan kegagalannya sendiri dalam menangani bencana berkenaan serta memastikan Israel mematuhi komitmennya di bawah fasa pertama pelan damai.
Hamas turut menuntut supaya semua lintasan sempadan dibuka bagi membolehkan kemasukan bantuan kecemasan, bekalan tempat perlindungan dan keperluan pemulihan tanpa sebarang syarat politik atau keselamatan.
Selain itu, Hamas menggesa supaya satu garis masa dan mekanisme pengesahan diwujudkan bagi memantau pelaksanaan pelan tindakan damai, termasuk pengunduran Israel serta pengaturan yang membolehkan jawatankuasa Palestin yang dipertanggungjawabkan mentadbir Gaza memulakan tugas.
Kumpulan itu turut menggesa Lembaga Keamanan menerbitkan laporan yang memperincikan komitmen yang telah ditunaikan, yang masih tertangguh serta pihak yang bertanggungjawab terhadap kelewatan berkenaan.
Hamas menegaskan semula kesediaannya melaksanakan syarat yang telah dipersetujui, namun menolak sebarang syarat baharu yang boleh mengubah turutan pelaksanaan komitmen, melengahkan pengunduran Israel atau memanjangkan penderitaan orang awam.
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, ribut yang melanda wilayah itu pada petang Jumaat menyebabkan lebih 70,000 khemah ditenggelami air, selain meruntuhkan puluhan tembok yang rosak akibat peperangan.
Pertahanan Awam Gaza memaklumkan bahawa dua wanita dan tiga kanak-kanak maut lewat Ahad selepas benteng pasir runtuh menghempap khemah yang menempatkan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Deir al-Balah.
— BERNAMA-ANADOLU

