HANOI,. Hanoi melonjak lima anak tangga dalam ranking global Internet mudah alih, sekali gus menjadi bandar kelima terpantas di dunia bagi perkhidmata
HANOI,. Hanoi melonjak lima anak tangga dalam ranking global Internet mudah alih, sekali gus menjadi bandar kelima terpantas di dunia bagi perkhidmatan Internet mudah alih, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Menurut Ookla Speedtest Global Index bagi Ogos 2026, ibu negara Vietnam itu merekodkan kelajuan muat turun Internet mudah alih median 493.37 Mbps.
Selain prestasi muat turun yang memberangsangkan, Hanoi mencatatkan kelajuan muat naik mudah alih median 93.98 Mbps dan kependaman hanya 19 milisaat.
Empat bandar yang mendahului Hanoi ialah Abu Dhabi di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan 702.28 Mbps; Al-Rayyan di Qatar dengan 625.63 Mbps; Doha di Qatar dengan 532.09 Mbps; dan Dubai di UAE dengan 522.64 Mbps.
Hanoi mengatasi beberapa bandar utama antarabangsa, termasuk Stockholm di Sweden dengan 411.79 Mbps; Kuwait City di Kuwait dengan 376.36 Mbps; dan Rio de Janeiro di Brazil dengan 366.96 Mbps.
Dalam ranking jalur lebar tetap, Hanoi turun dua anak tangga ke kedudukan ke-30 di seluruh dunia, dengan kelajuan muat turun median sebanyak 251.94 Mbps, kelajuan muat naik 199.35 Mbps dan kependaman empat milisaat.
Sementara itu, Ho Chi Minh City naik empat anak tangga ke kedudukan ke-54 di peringkat global, dengan kelajuan muat turun mudah alih median sebanyak 175.91 Mbps.
Ho Chi Minh City turut naik satu anak tangga ke kedudukan ke-14 dalam kategori jalur lebar tetap, dengan kelajuan muat turun median sebanyak 298.38 Mbps.
Pada peringkat negara, Vietnam terus menunjukkan prestasi kukuh dalam ranking telekomunikasi global bagi Ogos 2026.
Bagi Internet mudah alih, negara itu mencatatkan kelajuan muat turun median sebanyak 219.93 Mbps, naik satu anak tangga ke kedudukan kesembilan di seluruh dunia.
Angka itu lebih dua kali ganda berbanding kelajuan median global 109.05 Mbps.
— BERNAMA-VNA

